MUAR - Seorang lelaki mengaku salah atas lapan pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis. Tertuduh membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah. Tertuduh yang berusia 41 tahun dan hanya bekerja kampung dituduh melakukan perbuatan keji berkenaan dalam sebuah rumah di Semerah sejak tahun 2020 hingga 2023. Bagi pertuduhan pertama, tertuduh berdepan pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 12 tahun pada tahun 2020. Oleh itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan amang seksual fizikal di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama. Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun serta sebatan. Bagi hukuman Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan dengan sebat tidak kurang daripada dua sebatan. Bagi pertuduhan kedua hingga ke lapan, tertuduh didakwa merogol anak perempuan sulungnya itu yang kini hamil tujuh bulan di lokasi sama sejak Oktober 2020 hingga Jun 2023. Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan. Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat menetapkan tarikh 16 Julai 2023 bagi sebutan semula kes.