Rosmah dapat pasport lawat anak di Singapura

Rosmah Mansor
Rosmah Mansor
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Khamis membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkannya melawat anaknya, Nooryana Najwa Mohd Najib dan keluarga di Singapura.

Panel tiga hakim diketuai Datuk P Ravinthran berkata, memandangkan tiada bantahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn terhadap permohonan itu, mahkamah sebulat suara membenarkan perintah yang dimohon oleh isteri bekas Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak itu.

"Memandangkan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan, permohonan ini dibenarkan,” kata Ravinthran yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah.

Sebelum itu, peguam Datuk Jagjit Singh berkata, anak guamnya memohon kebenaran mahkamah untuk mendapatkan pasport antarabangsanya bagi membolehkannya melawat anak perempuannya itu yang kini menetap di Singapura selepas berkahwin dengan warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbaye.

"Kami memberi aku janji akan memulangkan pasportnya (Rosmah) (kepada mahkamah) dalam tempoh seminggu selepas kembali pada 7 Julai," kata Jagjit.

Beliau berkata, Rosmah akan kembali ke negara ini sebelum rayuan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar yang akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 11 Julai ini.

Rosmah memfailkan notis usul itu pada 2 Jun melalui Tetuan Akberdin & Co, bagi membolehkannya ke luar negara selama empat minggu mulai 6 Jun hingga 7 Julai. Pasportnya kini ditahan mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat jaminannya dalam kes hibrid solar itu.

Ini adalah kali ketiga Rosmah diberi kebenaran sementara mendapatkan pasport antarabangsanya untuk ke Singapura, kali pertama pada 15 Okt 2021 untuk melawat Nooryana yang melahirkan anak keduanya serta pada 21 Mac, untuk melawat anak dan cucunya yang tidak sihat.

Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah, 71, dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. Rayuan itu akan didengar selama empat hari bermula 11 Julai ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!