Melaka mohon RM13.93 bilion di bawah Rolling Plan keempat RMK12
MELAKA - Kerajaan Melaka telah mengemukakan permohonan bagi 330 projek di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 dengan kos keseluruhannya bernilai RM13.93 bilion.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 10 projek keutamaan disenaraikan adalah berkaitan infrastruktur, pembangunan, naik taraf jalan dan fasiliti.
"Ini termasuk penaiktarafan dan pemodenan infrastruktur E-Tanah, naik taraf insfrastruktur di lot tanah indsutri kawasan perindustrian Melaka Halal Hub Fasa 2 seluas 22.1 ekar dan fasa dua pembangunan ekopelancongan Paya Lebar di Alor Gajah.
"Justeru, kita berharap permohonan bagi RP4 ini dapat diluluskan dan disalurkan segera," katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Khamis.
Ab Rauf juga menyifatkan permohonan tersebut sebagai penting bagi membolehkan kerajaan negeri mempelbagaikan usaha penjanaan ekonomi untuk menarik pelabur tempatan dan asing, khususnya di koridor ekonomi Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).
Peruntukan itu dapat memastikan kelancaran projek yang dirancang dan memberi impak tinggi bagi meningkatkan pendapatan negeri serta negara, katanya.
Di bawah RP3 bagi tahun ini, Melaka telah menerima sebanyak 204 projek dengan nilai keseluruhannya mencecah RM7.05 bilion.
"Antara projek yang mendapat manfaat adalah projek naik taraf Jalan Tun Hamzah ke Persimpangan Semabok Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dengan kos RM300 juta, program transformasi perkhidmatan bas henti-henti (SBST) ke bandar Melaka selain projek pembinaan blok wanita dan kanak-kanak Hospital Melaka yang berkapasiti 476 katil,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!