Pemuda maut kereta langgar pembahagi jalan
BATU PAHAT - Seorang pemuda maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 125 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.09 petang.
Katanya, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Terdapat empat mangsa berada dalam kenderaan tersebut.
"Seorang mangsa, Syed Iqbal Syed Othman, 20, meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 21 dan 20 tahun cedera," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, semua mangsa yang cedera dikeluarkan oleh orang awam dan pihaknya memberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar dengan menaiki EMRS.
Katanya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hafiz Othman itu tamat pada jam 8.14 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!