PRN: Sekolah siap siaga dijadikan pusat pengundian
TUMPAT - Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, sekolah yang bakal dijadikan pusat pengundian di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah berada dalam keadaan siap siaga.
Beliau berkata, secara umumnya sekolah terlibat bersedia dari segi fizikal dan kemudahan, malah apabila pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan, secara automatik Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyediakan sebarang keperluan.
"Kita dah biasa hadapi PRN atau (PRU) Pilihan Raya Umum jadi saya rasa kita tak ada masalah.
"Kita sentiasa dalam keadaan siap siaga sebagaimana semasa bencana atau pilihan raya sebelum ini, semua kita siap siaga jadi bila-bila masa kita boleh teruskan persediaan untuk hadapi pilihan raya," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru sebagai Sekolah Komprehensif (K9), di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan fasiliti sekolah yang bakal dijadikan pusat pengundian susulan DUN Kelantan akan dibubarkan pada 22 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN). - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!