Presiden Venezuela tampil dengan sokongan tentera
CARACAS - VENEZUELA . Presiden Venezuela, Nicolas Maduro tampil dengan sokongan pasukan tentera bagi membuktikan beliau lebih berkuasa berbanding pihak pembangkang.
Berucap di sebuah kem tentera, Maduro menggesa pasukan bersenjata itu untuk menentang sebarang usaha rampasan kuasa susulan pertempuran berterusan antara pihak pembangkang dan penyokong kerajaannya.
Terdahulu, pemimpin pembangkang Juan Guaido yang juga ketua Himpunan Kebangsaan, cuba mencetuskan pemberontakan tentera dan memaksa Presiden Maduro meletak jawatan.
Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara Venuezuela pada Januari lalu, turut menyeru penjawat awam melancarkan mogok bertujuan untuk melemahkan kerajaan.
Dalam pada itu, Presiden Maduro yang disokong kuasa besar seperti Rusia dan China memuji kesetiaan pasukan tentera.
"Tiada sesiapa berani menyentuh negara kita atau membawa perang ke Venezuela," tegas Maduro.
Presiden Venezuela itu turut menafikan dakwaan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo bahawa beliau telah bersiap sedia untuk meninggalkan negara, sebaliknya Maduro menuduh AS sebagai dalang yang menghasut cubaan rampasan kuasa di negara itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!