Jenazah ADUN Belantek selamat dikebumikan
SIK - Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Datuk Mohd Isa Shafie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jering, Chepir dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi Khamis.
Jenazah Allahyarham Mohd Isa, 69, dibawa pulang dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani kira-kira jam 2 pagi tadi dan dimandikan serta disolatkan di rumahnya di Kampung Jelutong, di sini sebelum dibawa ke surau Kampung Jering untuk solat jenazah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama isteri Tok Puan Jusmalailani Jusof turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham di rumahnya di Kampung Jelutong, Chepir dekat sini.
Dianggarkan kira-kira 1,000 orang menziarahi dan mendirikan solat jenazah yang diadakan di kedua-dua lokasi tersebut.
Mohd Isa dilaporkan meninggal dunia pada jam 11.23 malam Rabu di HSAH selepas dimasukkan ke wad hospital itu awal Mei lepas.
Anak bongsu Allahyarham, Ameeratul Akmar, 32, berkata, bapanya demam pada 3 Mei lalu dan pada keesokan harinya terjatuh di bilik air dan dibawa ke Hospital Sik menaiki ambulans.
"Kami kemudiannya dimaklumkan yang keadaan abah kritikal perlu dipasang alat bantuan pernafasan lalu terus dibawa ke HSAH. Semalam genap 40 hari, doktor maklumkan keadaan abah 50-50...sepanjang ditidurkan, dua kali abah sedar tapi tak banyak berbual.
"Semalam kami balik jam 7.30 malam, sampai di rumah 9.30 malam dan dimaklumkan abah semakin kritikal, kami bergegas ke sana dan tiba dua minit selepas abah menghembuskan nafas terakhir," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Muniratul Akmar, 44, berkata bapanya sempat berpesan agar anak-anak menjaga ibu, Che Faridah Md Desa, 61.
"Doktor maklumkan, empat daripada enam organ utama iaitu jantung, hati, paru-paru dan buah pinggang sudah dijangkiti kuman dan hanya bergantung kepada antibiotik.
"Saat-saat terakhir abah, kami semua anak-anak sempat berada di sisi dan doktor bagi kebenaran untuk kami berada dekat dengannya, mengajar dia mengucap...abah juga berpesan sebelum ini untuk jaga mak," ujarnya.
Arwah meninggalkan isteri, Che Faridah dan lima anak, Muniratul Akmar, Ameeratul Akmar, Mohd Saiful Munir, 43, Mohd Fakhrul Munir, 41, dan Mohd Shahidal Munir, 40, serta ibu yang sudah uzur, Esah Mehat, 92. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!