Trio muda makin dapat kepercayaan
TRIO lelaki negara yang kali pertama diperkenalkan pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 dijangka terus diberi tanggungjawab bagi menghadapi Sukan Asia di Hangzhou, China September depan.
Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley berkata, gandingan Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Ridhwan Sahrom dan Umar Hasbullah sudah membuktikan potensi masing-masing.
Menurutnya, trio muda negara itu masih mampu menghadirkan pingat gangsa acara pecut berpasukan elit lelaki sekalipun tanpa 'kayuhan' dua jagoan - Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
“Pada Sukan Asia nanti, acara lumba basikal trek akan berlangsung selama empat hari sahaja. Azizulhasni dan Shah Firdaus akan beraksi dalam pecut (individu) dan keirin.
“Jika saya turunkan pasukan A, mereka (Azizulhasni dan Shah Firdaus) juga akan beraksi pada hari terakhir untuk keirin, jadi saya rasa yang terbaik adalah mereka beraksi dalam acara keirin,” katanya.
Dalam aksi penentuan pingat gangsa acara pecut elit berpasukan di Velodrom Nasional, Nilai pada Rabu, trio negara menamatkan perlumbaan dengan catatan 44.363 saat (s) mengatasi Kazakhstan yang merekodkan 44.488s.
Beasley berkata, beberapa langkah perlu diambil termasuk memberi tumpuan kepada perkembangan fizikal dan mental bagi membolehkan barisan pelumba muda berada pada tahap seperti Azizulhasni dan Shah Firdaus.
“Kita mula membentuk serta memberi peluang kepada pelumba muda, sekali gus membuka peluang buat mereka membuktikan kemampuan diri masing-masing,” jelas Beasley.
Untuk rekod, Azizulhasni bersama-sama Shah Firdaus dan Fadhil meraih pingat perak acara pecut berpasukan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Sementara itu, Azizulhasni memuji prestasi trio muda negara atas kejayaan mereka menyambar pingat gangsa pecut berpasukan elit lelaki pada ACC kali ini.
"Tahniah diucapkan kepada pasukan team sprint elite lelaki selepas memenangi pingat gangsa dalam perlumbaan penentuan melawan Kazakhstan.
"Saya amat berbangga dengan usaha dan komitmen yang ditonjolkan oleh mereka terutamanya daripada dua pelumba, Umar dan Ridwan.
"Diharap mereka akan terus berusaha dengan lebih keras untuk meningkatkan prestasi dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!