'Setidak-tidaknya suspek cari keluarga mohon maaf'

Muhammad Hafidz (kiri) menerima penerangan daripada petugas Unit Perubatan Forensik Hospital Ampang berkenaan arwah ayahnya, Ahmad Fadzil (Gambar kecil) yang meninggal dunia akibat terbabas dan jatuh daripada jejambat SUKE pada Rabu.
Muhammad Hafidz (kiri) menerima penerangan daripada petugas Unit Perubatan Forensik Hospital Ampang berkenaan arwah ayahnya, Ahmad Fadzil (Gambar kecil) yang meninggal dunia akibat terbabas dan jatuh daripada jejambat SUKE pada Rabu.
A
A
A

AMPANG - "Saya sama sekali tidak dapat terima sikap tidak bertanggungjawab suspek yang langsung tidak membuat panggilan kepada pihak hospital atau berjumpa dengan kami ahli keluarga untuk meminta maaf," demikian luah Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 36.

Dia yang merupakan anak sulung kepada mangsa kemalangan maut di Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berkata, tindakan suspek yang 'lari' daripada mengambil tanggungjawab menghubungi pihak hospital ekoran kejadian kemalangan tersebut adalah suatu yang tidak boleh diterimanya dan seluruh ahli keluarga.

Katanya, meskipun suspek bersalah kerana melawan arus dan menyebabkan arwah ayahnya, Ahmad Fadzil Omar Azzadin meninggal dunia, namun setidak-tidaknya suspek mencari dia sekeluarga untuk memohon maaf.

"Buat masa sekarang, kami sekeluarga sangat bersedih dan masih terkejut di atas pemergian ayah tercinta.

"Tetapi kami sekeluarga tidak dapat menerima perbuatan suspek yang melarikan diri dan langsung tidak cuba mencari kami untuk memohon maaf.

"Malah suspek juga tidak berusaha menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan pertolongan buat arwah ayah," ujarnya penuh kesal kepada Sinar Harian pada Khamis.

Muhammad Hafidz berkata demikian ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Ampang, dekat sini selepas proses bedah siasat dilakukan.

Meskipun dia kelihatan tenang keluar dari bilik forensik, namun air matanya dapat dilihat bergenang di kelopak mata.

Dia hadir ke hospital ditemani seorang sahabat dan beberapa ahli saudara terdekat.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Proses bedah siasat selesai sekitar 1 tengah hari dan urusan mandi jenazah dilakukan di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, dekat sini.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana petang ini.

Ditanya bagaimana menerima perkhabaran tersebut, Muhammad Hafidz berkata, pihak polis telah hadir ke rumah dan memaklumkan kejadian menyayat hati tersebut kepada ibunya.

Menurutnya, mengetahui kemalangan tersebut, dia hanya menyangka ayahnya itu sekadar mengalami kecederaan patah kaki atau seumpamanya.

"Pada mulanya, saya menjangkakan ayah hanya mengalami kecederaan atau patah kaki.

"Saya sudah bertekad untuk menjaganya. Namun ALLAH lebih menyayangi arwah dan menjemputnya menerusi kejadian ini," ujarnya.

Meskipun begitu katanya, ada perkara baik yang disampaikan oleh pihak hospital mengenai arwah ayahnya.

Jelasnya, arwah dipercayai terus dijemput Ilahi sebaik sahaja terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.

"Apabila terhentak ke tanah, saraf tunjang arwah ayah di tengkuk dipercayai telah terputus.

"Atas asbab itu, arwah ayah pergi dengan cepat tanpa ada sebarang kesakitan.

"Saya mohon semua yang mengenali arwah ayah untuk mendoakan kebaikan buatnya dan berada dalam kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh," pintanya penuh mengharap.

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis teliti rakaman CCTV, kesan penunggang motosikal lawan arus

Netizen kecam penunggang motosikal lawan arus

Penunggang Ducati maut jatuh 'flyover' elak motosikal lawan arus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!