Kenderaan berhenti atas Jambatan Bagan Datuk akan disaman

Tangkap layar rakaman video di media sosial menunjukkan kenderaan polis berada di jambatan tersebut seperti mengambil tindakan ke atas pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan mereka. Gambar kecil: AHMAD ADNAN
Tangkap layar rakaman video di media sosial menunjukkan kenderaan polis berada di jambatan tersebut seperti mengambil tindakan ke atas pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan mereka. Gambar kecil: AHMAD ADNAN
A
A
A

TELUK INTAN - Tindakan saman akan dikenakan kepada pemilik kenderaan yang berdegil berhenti di atas Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop kerana membahayakan pengguna laluan tersebut.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketika ini pihaknya mengambil langkah dengan membuat rondaan setiap hari di jambatan untuk memastikan tiada kenderaan berhenti di atas jambatan terbabit.

Menurutnya, individu yang didapati memberhentikan kenderaan di jambatan tersebut tanpa sebab kecemasan akan diberikan nasihat dan amaran supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.

"Setakat ini, pihak Polis Trafik IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Hilir Perak memang digerakkan setiap hari bagi memantau pemandu kenderaan yang menggunakan jambatan tersebut. Difahamkan, pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) sedang dalam proses untuk memasang papan tanda larangan berhenti di atas bahu jalan di jambatan tersebut bagi memberi amaran kepada semua pengguna jalan raya yang melaluinya.

"Selepas papan tanda tersebut dipasang, tindakan saman akan diambil ke atas semua kenderaan yang ingkar arahan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, larangan tersebut dibuat kerana tindakan memberhentikan kenderaan di bahu jalan sepanjang jambatan itu membahayakan pengguna kenderaan lain kemalangan mudah berlaku disebabkan keadaan tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rakaman video di media sosial menunjukkan kenderaan polis berada di jambatan tersebut seperti mengambil tindakan ke atas pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan mereka.

Terdahulu terdapat aduan orang ramai di media sosial mengenai keadaan jambatan tersebut yang kotor disebabkan sampah ditinggalkan individu tidak bertanggungjawab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!