Tak tahan selalu banjir, penduduk rayu diberi penempatan baharu
KUANTAN - Tiada alternatif lain kecuali menyediakan penempatan baharu yang sesuai dan selamat bagi menyelesaikan masalah banjir yang terpaksa dihadapi penduduk Kampung Insaf, Lanchang, Temerloh saban tahun.
Itu antara harapan kira-kira 17 penduduk dari kampung berkenaan yang buntu dengan nasib mereka apabila masalah yang dihadapi sejak bertahun-tahun itu seolah-olah tiada penyelesaian.
Salah seorang penduduk, Noriyati Mohamad, 49, berkata, dia dan keluarga menetap di kampung itu sejak lebih 30 tahun lalu dan dalam tempoh itu mereka terpaksa berdepan dengan bencana banjir berulang kali.
Menurut kakitangan awam itu, setiap kali banjir, dia terpaksa menanggung kerugian besar disebabkan kerosakan harta benda.
"Masalah ini bukan melibatkan harta benda semata-mata tapi yang paling dibimbangkan, keselamatan dan nyawa keluarga.
"Kedudukan di tepi Sungai Semantan menyebabkan kampung ini mudah dan sentiasa banjir malah ada kejadian rumah tenggelam hingga ke paras bumbung dan musnah dihanyutkan," katanya.
Noriyati antara 16 penduduk yang hadir menyerahkan memorandum berhubung masalah itu di Pejabat Menteri Besar Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.
Memorandum diterima Pegawai Khas Menteri Besar, Wan Emril Nizam Wan Embong.
Noriyati berkata, harapan penduduk agar kerajaan negeri menyediakan penempatan baharu di lokasi sesuai dan memindahkan penduduk dengan segera.
"Tiada cara lain lagi.
"Kami tidak nafikan kerajaan ada menghulurkan bantuan setiap kali banjir berlaku, tapi tidak seperti yang diharapkan," katanya.
Harapan sama dikongsi Maziah Mohamad, 50, kerana rumahnya antara yang terawal terkena banjir setiap kali bencana itu berlaku.
"Rumah terkepung banjir sudah jadi rutin setiap tahun tidak kira bencana itu besar atau kecil. Paling teruk pada 2021 apabila kampung ini tiga kali dilanda banjir.
"Harapnya kerajaan negeri mempertimbangkan penyelesaian segera dengan memindahkan penduduk terlibat ke penempatan baharu supaya tidak lagi mengalaminya tahun ini dan masa-masa akan datang," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Nor Samsi Amirudin, 50, mendakwa, mangsa banjir di kampung itu pernah beberapa kali dijanjikan dengan penempatan baharu sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, semua itu hanya tinggal janji kerana penduduk terus berdepan masalah sama.
"Kami tidak minta lebih, cukup sekiranya kerajaan negeri prihatin menyediakan penempatan baharu sebagaimana yang dihasratkan penduduk kampung.
"Penduduk sudah tidak sanggup lagi merisikokan nyawa dan harta benda memandangkan bencana banjir semakin kerap tahun-tahun kebelakangan ini disebabkan aktiviti mengorek pasir di sepanjang Sungai Semantan dan selepas siapnya Empangan Kelau pada 2017," katanya.
Sementara itu, Ahli Perhubungan Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Pahang, Wan Zamzahidi Wan Zahid yang mewakili penduduk berkata, isu itu memerlukan perhatian dan campur tangan kerajaan negeri.
Menurutnya, difahamkan penduduk pernah ditawarkan kawasan di Kuala Gandah sebagai penempatan baharu, namun lokasi itu tidak sesuai kerana jaraknya terlalu jauh.
"Rata-rata penduduk kampung ini bergantung kepada Sungai Semantan untuk mencari rezeki sebagai nelayan sungai.
"Jadi mustahil untuk mereka berpindah ke lokasi dicadangkan itu atas pelbagai faktor.
"Sekiranya kerajaan negeri sedia mempertimbangkan, lokasi baharu dicadangkan di kuarters Jabatan Kerja Raja (JKR) yang terletak kira-kira satu kilometer dari kampung tersebut," katanya.
Menurutnya, terdapat kira-kira 20 kuarters usang dan tidak digunakan yang boleh dibaiki dan diubah suai sebagai penempatan penduduk terlibat sekiranya mendapat kebenaran agensi berkenaan.
"Kerajaan negeri boleh mulakan proses rundingan untuk kebenaran dan mengeluarkan sejumlah peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan kuarters usang itu," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!