'Pakaian jururawat wanita ketat, tak patuh syariah' - MP Kuantan

Wan Razali ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Wan Razali ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Etika berpakaian jururawat wanita di kebanyakan fasiliti kesihatan awam di negara ini disifatkan tidak patuh syariah.

Justeru Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) menggesa kerajaan melihat semula etika berkenaan supaya golongan itu diberi pilihan untuk memilih pakaian yang lebih sesuai.

“Saya ingin membangkitkan etika pemakaian jururawat wanita yang kebanyakannya berpakaian ketat dan menampakkan bentuk badan. Ia tidak patuh syariah.

“Adakah kita masih berterusan mahu mengikut acuan barat dalam etika pemakaian. Adakah ia tidak boleh diubah dan diberi kelonggaran,” katanya ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu, Wan Razali meminta kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil contoh beberapa hospital lain yang membenarkan kakitangan wanita mereka mengenakan pakaian yang lebih sesuai seiring ajaran Islam.

“Contohnya Hospital USM (Universiti Sains Malaysia) Kubang Kerian (Kelantan) dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Kuantan (Pahang), tahniah saya ucapkan kepada kedua-dua hospital ini yang memberi pilihan etika yang lebih baik buat pekerja,” ujarnya.

Sementara itu, Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) membangkitkan isu kekurangan jururawat di hospital awam susulan ramai yang lebih berminat untuk berkhidmat di luar negara kerana tawaran gaji lebih lumayan.

Justeru beliau mencadangkan supaya tangga gaji golongan berkenaan dikaji semula bagi memastikan kebajikan mereka lebih terbela.

“Kekurangan jururawat boleh diatasi tanpa mengambil jururawat dari luar negara. Ini kerana di institut pengajian tinggi sudah menyediakan pengkhususan jururawat di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

“Institut kejururawatan sedia ada juga perlu diperkasa dengan membuka peluang latihan kepada lebih ramai berkelayakan yang meminati bidang ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!