Agong berkenan terima menghadap Menteri Luar UAE
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan di Istana Negara.
Sheikh Abdullah yang tiba pada jam 12.50 tengah hari meluangkan masa kira-kira dua jam di Istana Negara.
Pada majlis menghadap itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari bersama Sheikh Abdullah dan delegasi UAE antaranya terdiri daripada Duta Besar UAE ke Malaysia Khalid Ghanim Al Ghaith.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Sheikh Abdullah kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam.
Dalam lawatan itu, Syeikh Abdullah turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Zamry bagi bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu terutama dalam meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-UAE serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.
Pertemuan itu susulan daripada lawatan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan ke Malaysia bulan lepas.
UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan destinasi import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.
Pada 2022, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 73.5 peratus dari RM22.33 bilion kepada RM38.73 bilion berbanding tahun sebelumnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!