Sistem kutipan tol bayaran terbuka dilaksana September ini

Nanta selepas Majlis Perasmian Pembukaan Fasa 2 SUKE pada Khamis.
Nanta selepas Majlis Perasmian Pembukaan Fasa 2 SUKE pada Khamis.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka yang dijangka bermula September ini melibatkan 12 lebuh raya bagi memudahkan proses pembayaran tol untuk pengguna lebuh raya, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, ia membabitkan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).

Selain itu, ia termasuk Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Terowong SMART, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE).



"Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka yang diperkenalkan ini adalah sebagai satu daripada usaha dan inisiatif kerajaan yang komited dalam peralihan ke arah pelaksanaan sistem kutipan tol secara Multi-Lane Fast Flow (MLFF) yang dijangka dapat direalisasikan secara berperingkat menjelang 2024,” katanya pada Majlis Perasmian pembukaan Fasa dua Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Plaza Tol Alam Damai, di sini pada Khamis.

Menurutnya, sistem pembayaran terbuka itu bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit untuk memudahkan dan melancarkan laluan di plaza tol.

Beliau berkata, semua plaza tol di Lebuhraya SUKE juga telah direka bentuk dengan mengambil kira pelaksanaan MLFF.

Ketika ditanya sama ada sistem tersebut akan dilaksanakan di semua lorong tol, Nanta berkata, ia akan dilaksanakan secara berperingkat di semua plaza tol mengikut kesesuaian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!