ZPP terima zakat perniagaan RM1.92 juta

Roslan (lima dari kiri) bersama Mohamad Khairi (enam dari kanan) dan Samsudin (tujuh dari kanan) bergambar bersama pembayar zakat korporat dalam majlis yang diadadakan di Kepala Batas pada Khamis.
Roslan (lima dari kiri) bersama Mohamad Khairi (enam dari kanan) dan Samsudin (tujuh dari kanan) bergambar bersama pembayar zakat korporat dalam majlis yang diadadakan di Kepala Batas pada Khamis.
A
A
A

KEPALA BATAS - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima bayaran zakat perniagaan RM1.92 juta daripada tujuh syarikat korporat yang beroperasi di negeri ini.

Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Nazri Chik mendahului penyerahan bayaran zakat bernilai RM370,000 yang disampaikan kepada Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Roslan Ahmad

Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang diwakili Ketua Pengurusan Zakat, Roslan Yohman menyerahkan pembayaran zakat perniagaan bernilai RM364,315 dan diikuti Maybank Islamic Berhad yang menyampaikan bayaran bernilai RM309,147.56 oleh Pengarah Wilayah Utara, Zolkefli Awang.

Selain itu, Celcom Network Sdn Bhd yang diwakili Ketua Operasi Pemasan Wilayah Utara, Akryl Azam Arudin menyampaikan bayaran zakat perniagaan bernilai RM297,650 dan diikuti oleh CIMB Islamic Bank Berhad yang menyampaikan RM250,000 oleh Ketua Serantau, Penasihat Syariah dan Tadbir Urus, Ahmad Suhaimi Yahya.

Turut melaksanakan tanggungjawab itu, Penang Specialist Hospital Sdn Bhd yang menyerahkan bayaran zakat perniagaan bernilai RM200,000 disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zabidi Abdul Razak manakala Bank Muamalat Malaysia Berhad pula menyerahkan RM136,622.06 oleh Ketua Bahagian Operasi, Muhamad Radzuan Ab Rahman.

Menyaksikan majlis penyerahan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi ZPP, Mohamad Kairi Ghazalli dan Setiausah MAINPP, Datuk Samsudin Bakar.

Sementara itu, Roslan ketika berucap menzahirkan ucapan terima kasih kepada pembayar zakat korporat yang menunjukkan keprihatinan dalam melunaskan kewajipan sosial korporatnya untuk dimanfaatkan oleh masyarakat Islam amnya dan para mustahiq di negeri ini.

Beliau berkata, kewajipan membayar zakat perniagaan adalah sesuatu yang disepakati sejak dari zaman Rasulullah SAW berdasarkan kepada dalil ayat suci al-Quran, Hadis dan ijmak ulama.

"Membayar zakat bererti kita mempunyai kesedaran dan kepedulian sosial untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

"Kekayaan atau keuntungan yang dimiliki, sekiranya tidak dikongsi boleh merosakkan jiwa kerana disitulah punca sikap bakhil, boros dan membazir malah membelanjakan harta untuk tujuan-tujuan keduniaan semata-mata akan mengikis keimanan kita kepada Allah,"katanya.

Dalam pada itu, Roslan berkata, pihaknya berharap ZPP dapat menggerakkan sosio-ekonomi rakyat khususnya masyarakat Muslim di Pulau Pinang dengan strategi-strategi baharu dakwah zakat dengan mempelbagaikan kaedah pembayaran dan pengagihan zakat yang efektif serta efisien.

Beliau percaya peningkatan kutipan zakat akan memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu penyediaan dana agihan zakat kepada golongan yang memerlukan untuk menjamin kemakmuran hidup masyarakat Muslim di Pulau Pinang pada masa hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!