181 terima darjah kebesaran, pingat Pahang

Tengku Hassanal berkenan mengurniakan darjah kebesaran SMP kepada Amirul Hamizan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis pada Khamis. - Foto Bernama
Tengku Hassanal berkenan mengurniakan darjah kebesaran SMP kepada Amirul Hamizan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LIPIS - Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berkenaan menyempurnakan penyampaian Darjah Kebesaran dan Pingat negeri Pahang kepada 181 penerima.

Istiadat sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, turut menyaksikan keberangkatan kekanda Tengku Hassanal, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan negeri Pahang serta ketua-ketua jabatan.

Pada istiadat itu, seramai 20 penerima dikurniakan darjah kebesaran Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), 22 individu menerima darjah kebesaran Setia Mahkota Pahang (SMP) dan 17 penerima darjah kebesaran Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP).

Seramai 32 individu pula dikurniakan Ahli Mahkota Pahang (AMP), 18 individu menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), tiga dikurniakan Pingat Gagah Perwira (PGP), 25 individu menerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) serta 44 individu dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Tengku Hassanal berkenan berangkat pulang selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang. - Foto Bernama
Tengku Hassanal berkenan berangkat pulang selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang. - Foto Bernama

Sementara itu, Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Amirul Hamizan Ibrahim yang menerima SMP, menjunjung kasih terhadap pengiktirafan itu dan menyifatkannya sebagat 'penghargaan amat bermakna' daripada kerajaan negeri terhadap sumbangannya dalam sukan itu.

Amirul Hamizan yang merupakan anak jati Kuala Rompin di Rompin mula mewakili Pahang dalam sukan angkat berat pada 1995.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu juga menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pendorong semangat untuknya terus memartabatkan sukan angkat berat Malaysia, selain membantu hasrat Pahang mengembalikan semula kegemilangan sukan itu di negeri ini.

"Sebenarnya ini adalah panggilan ketiga untuk saya hadir setelah terpaksa menolak sebanyak dua kali kerana berada di luar negara bagi mengiringi pasukan angkat berat yang bertanding... untuk hari ini juga adalah rezeki kerana saya berada di Qatar semalam.

"Alhamdulillah perjalanan semua lancar dan saya dapat terus ke sini untuk menghadiri istiadat walaupun tidak dapat menghadiri sesi latihan semalam," katanya semasa ditemui selepas tamat istiadat itu.

Turut menerima SMP ialah Editor Kanan Perkhidmatan Berita, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Ahmad Shukran Shaharudin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!