PKMM gesa kerajaan kawal harga simen, besi
IPOH - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menggesa kerajaan segera mengawal harga simen dan besi yang mengalami peningkatan drastik tahun ini.
Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, langkah itu penting bagi memastikan industri pembinaan seperti kontraktor, subkontraktor dan pembekal tidak terus tertekan.
Menurutnya, peningkatan harga bahan binaan ketika ini amat menyebabkan ramai kontraktor menanggung kos tambahan yang tinggi bagi menyiapkan satu-satu projek.
"Sekarang ini harga satu tan besi lebih kurang RM3,300 berbanding dahulu RM2,800. Ada perbezaan lebih kurang RM500. Bayangkan berapa harga yang diperlukan untuk menyiapkan satu bangunan pula ketika ini.
"Begitu juga dengan simen, saya difahamkan akan berlaku kenaikan harga lagi selepas ini. Jika sebulan sampai dua tiga kali naik, keadaan ini seolah-olah tidak ada pengawalan.
"Besi dan simen ini bahan yang dikawal kerajaan dan sepatutnya harganya tidak boleh naik ikut suka sahaja," katanya ketika ditemui pemberita dalam Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Perak kali ke 46, di sini pada Khamis.
Mesyuarat dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu turut dihadiri Yang Dipertua PKMM Perak, Datuk Wira Jamaluddin Abdul Rahim.
Indeks harga seunit simen dan besi mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 0.3 peratus dan 0.9 peratus pada April lalu.
Peningkatan itu dilapor berlaku dengan kadar lebih perlahan berbanding Mac lalu iaitu 1.1 peratus bagi seunit simen manakala seunit besi mencatatkan peningkatan dengan peratusan sama 0.9 peratus bagi tempoh sama.
Purata harga seunit besi terdiri daripada bar bulat keluli lembut adalah RM3,721.72 bagi setiap tan metrik dengan peningkatan 0.8 peratus berbanding Mac lalu iaitu RM3,690.90 per tan metrik.
Sementara itu, Mohamed Fadzill berkata, lapan negeri yang selesai melaksanakan mesyuarat agung telah mengutarakan usul sama meminta kerajaan mengehadkan pemberian lesen baharu kepada kontraktor pelbagai kelas berikutan lambakan
Katanya, usul berkenaan antaranya dari negeri Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan turut meminta kerajaan melaksanakan perolehan projek secara undian dan terbuka.
"Perkara ini telah mendapat maklum balas daripada Kementerian Kerja Raya yang bersetuju dengan cadangan berkenaan.
"Ini satu perkembangan yang baik bermakna suara kita didengari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!