Calon MB Kedah: Kepimpinan tertinggi PN tentukan - Sanusi

Muhammad Sanusi, Mukhriz
Muhammad Sanusi, Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Kedah akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi parti.

Beliau berkata, ia bukan hak mutlak miliknya atau Pas Kedah untuk mencalonkan dirinya, sebaliknya calon Menteri Besar akan dicadangkan oleh Setiausaha Agung PN.

Menurutnya, pemimpin politik yang berhasrat dilantik sebagai Menteri Besar hendaklah terlebih dahulu menang dalam pilihan raya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Nak jadi Menteri Besar, perlu menang pilihan raya dulu. Siapa yang sebut-sebut sebagai calon pun, kalau awal-awal lagi tak menang pilihan raya, macam mana nak lantik?” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan khemah, meja dan kerusi kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) bawah Program Sejahtera Komuniti 2023 di Wisma Darul Aman pada Khamis.

ADUN Jeneri itu berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan tular di media sosial berhubung terdapat cadangan untuk menukar Menteri Besar Kedah bawah PN.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir disebut-sebut sebagai calon menggantikan Muhammad Sanusi, susulan kerjasama baharu yang dijalin antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Proklamasi Orang Melayu diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, perkara itu agak mustahil disebabkan Mukhriz bukan merupakan anggota dalam mana-mana parti bawah PN.

“Mukhriz bukan anggota PN. Tak boleh lantik seseorang sebagai senator negeri sebab jawatan itu tak wujud.

“Siapa pun calonnya, ikut prosedur. Setiausaha Agung parti atau Setiausaha Agung PN akan kemuka satu nama yang dicadangkan kepada Sultan Kedah untuk diangkat sebagai Menteri Besar,” jelasnya.

Ditanya sama ada calon Menteri Besar Kedah kekal milik Pas atau bertukar kepada Bersatu dalam PRN akan datang, tegasnya, parti yang memenangi lebih kerusi akan ditawarkan jawatan tersebut.

“Kita tengok nanti siapa menang paling banyak kerusi atau mungkin tengok siapa handsome kah, atau macam mana kriteria,” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Mukhriz dalam ciapan twitter pada Rabu meminta pihak yang menyebarkan propaganda tersebut agar menghentikan perbuatan itu.

“Saya tidak sama sekali akan jadi MB Kedah sekali lagi. Sila hentikan propaganda karut itu. Rakyat tak bodoh seperti yang kau fikirkan,” katanya bagi menepis dakwaan tular tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi memaklumkan agihan kerusi PN Kedah sudah selesai dengan masing-masing diberikan kuota seimbang.

“Belum boleh umum lagi namun dipersetujui antara parti-parti gabungan PN secara aman. Agihan seimbang berdasarkan kekuatan, keupayaan masing-masing selain status quo,” ujarnya.

Menurutnya lagi, prestasi mentadbir selama tiga tahun akan dijadikan sandaran dalam PRN untuk mengekalkan kemenangan di Kedah.

“Kita tak ada duit nak tabur pada orang ramai. Pencapaian kita dijadikan modal PRN ini. Jangan terpedaya dengan dakyah puak sana yang bercakap semata-mata untuk bagi orang meluat pada PN.

“Saya rasa orang celik, dapat melihat pencapaian kami, itu baru tiga tahun, cuba bagi 30 tahun, tengok apa jadi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!