Mayat wanita tanpa kepala, tangan ditemukan di sungai
PAPAR - Mayat seorang wanita ditemukan tanpa kepala dan kedua belah tangan di Sungai Kampung Sapat di sini pada Khamis.
Mayat berkenaan ditemui tersangkut pada ranting pokok kayu di tepi sungai itu kira-kira jam 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu daripada orang awam.
"Siasatan di lokasi mendapati terdapat satu mayat dalam keadaan terapung di permukaan sungai dalam keadaan tertiarap dan tersangkut di ranting pokok kayu di tepi sungai berkenaan.
"Pasukan bomba kemudian dihubungi bagi mendapatkan bantuan untuk membawa naik mayat berkenaan ke darat. Hasil pemeriksaan mendapati mayat itu adalah seorang wanita yang dalam keadaan tidak berbaju.
"Mayat juga didapati dalam keadaan yang tidak sempurna iaitu bahagian kepala dan kedua belah tangan telah tiada, manakala hanya kaki kanan yang tinggal iaitu bahagian paha ke paras lutut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, setakat ini punca kematian wanita itu belum dikenal pasti dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mayat itu dijangka berusia antara 30 ke 40 tahun dan disyaki telah meninggal dunia kira-kira satu minggu lalu.
"Identiti wanita berkenaan belum dikenal pasti dan setakat ini juga tidak ada laporan orang hilang atau belum balik ke rumah diterima oleh pihak polis," katanya.
Sehubungan itu, Kamaruddin meminta orang ramai tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar jika ada ahli keluarga, jiran atau rakan yang hilang untuk tujuan pengecaman mayat.
"Mayat telah dibawa ke Hospital Papar untuk tindakan lanjut dan sekiranya ada maklumat berkaitan waris mayat ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Sarjan Mustifin Wahid di talian 0142030071," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!