Anggaran kos PRN di enam negeri RM420 juta
KUALA LUMPUR - Kos keseluruhan bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dianggarkan sebanyak RM420 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bagi tujuan berkempen pula, semua pihak hendaklah mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) serta undang-undang lain yang berkaitan pilihan raya.
Menurutnya, pada setiap kali penganjuran pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa memberi saranan kepada semua pihak agar mengemukakan laporan kepada mana-mana jabatan atau agensi yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sekiranya terdapat mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.
"Ini bagi membolehkan tindakan dan siasatan segera diambil oleh jabatan atau agensi tersebut.
"Bagi tujuan ini, SPR turut memerlukan kerjasama yang menyeluruh dan adalah tanggungjawab semua pihak serta pemegang taruh yang terlibat dalam memastikan urusan kempen pilihan raya dilaksanakan secara lancar dan teratur," katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat pada khamis.
Azalina menjawab soalan dikemukakan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang bertanya berkenaan jumlah kos yang dijangka dibelanjakan untuk PRN di enam negeri dan apakah jaminan kerajaan untuk memastikan kemudahan kerajaan tidak disalahgunakan oleh parti pemerintah untuk tujuan kempen PRN kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!