Ailton ketua jurulatih baharu Kelantan United FC

Ailton (dua dari kanan) sedia melatih Sang Kijang Hijau. - Foto Kelantan United
Ailton (dua dari kanan) sedia melatih Sang Kijang Hijau. - Foto Kelantan United
A
A
A

KELANTAN United FC melantik Ailton Dos Santos Silva sebagai ketua jurulatih baharu Sang Kijang Hijau bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim 2023.

Pengarah Eksekutif Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman berkata, kehadiran Ailton, 56, dari Brazil itu mengisi kekosongan ditinggalkan Tomas Trucha yang menjadi ketua jurulatih pasukan pembangunan bawah 23 tahun bagi persaingan Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Pelantikan Ailton sejajar dengan pihak pengurusan Kelantan United yang bertekad membangkitkan semula kelab dalam persaingan liga setelah menamatkan pusingan pertama pada kedudukan ketiga terakhir.

“Ailton tidak asing dalam saingan di peringkat Asia Tenggara kerana pernah melatih dua kelab di Liga Thailand sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, ketika bersama Chiangrai United, Ailton berjaya memacu kelab tersebut muncul juara pada musim 2019 mengatasi beberapa kelab besar yang lain setelah mencatatkan 22 kemenangan seterusnya dinobatkan pengurus terbaik untuk musim itu.

Katanya, Ailton dinamakan sebagai pengurus Chiangmai United pada 2021.

“Kelantan United FC ialah kelab ketiga Ailton di Asia.

“Pengalaman yang ada pada beliau sewaktu mengemudi dua kelab itu diharap dapat menaikkan semula kedudukan Sang Kijang Hijau di persada bola sepak Malaysia,” ujar beliau

Sebelum ke Liga Thailand, Ailton melatih beberapa kelab Liga Brazil dan pernah membawa sebuah kelab negara berkenaan, River Plate-SE merangkul kejuaraan divisyen pada musim 2011.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!