Bahasa matematik dan rahsia alam

A
A
A

TIGA hari lagi umat Islam akan mula berpuasa menunaikan Rukun Islam ketiga, minimum 29 hari pada bulan Ramadan setahun sekali sebagai pengakuan hamba ALLAH SWT yang taat kepada perintah-Nya.

Mengapakah angka-angka atau perkiraan nombor ini penting dalam Islam? Ini kerana sebahagian daripada ilmu matematik diterjemah secara saintifik sebagai panduan kepada kehidupan manusia di dunia.

Secara tidak langsung, asas angka dan matematik ialah tonggak dalam perkiraan ilmu kejuruteraan.

Sesebuah bangunan dibina berdasarkan angka dan kuasa matematik dalam menentukan kekuatan sesebuah bangunan atau pembinaan. Pada sekitar tahun 1610, saintis terbilang Galileo Galilie menyebut, “Mathematics is the language which God created the universe”.

Begitu juga ungkapan Stephen Hawking – pencetus teori Big Bang yang akhirnya bersetuju dengan Galileo yang menyatakan ALLAH mencipta alam dengan ‘bahasa matematik’.

Tetapi al-Quran telah menyatakan perkara ini 1,000 tahun sebelum kehidupan Galileo sebagaimana yang dinyatakan Surah Al-Qamar [54:49-53] bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran (matematik); dan perintah Kami hanyalah satu perkataan seperti kedipan mata; dan sesungguhnya telah Kami binasakan orang yang serupa dengan kamu. Maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran? Dan segala sesuatu yang telah mereka perbuat tercatat dalam buku-buku catatan; dan segala (urusan) yang kecil mahupun yang besar adalah tertulis.”

Sesungguhnya kemampuan manusia amat terhad untuk memahami keseluruhan maksud ‘bahasa’ ilmu yang terkandung dalam al-Quran. Namun, dengan sedikit pengetahuan dan pemahaman cukup untuk memberi panduan kepada manusia sebagai asas ilmu supaya memberi manfaat kepada kehidupan lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal ini, jelaslah Ramadan memiliki rahsia amat tersembunyi seperti Lailatul Qadar di mana hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui akan kelebihannya. Matematik dikupas sepenuhnya dalam al-Quran. Misalnya, Surah Ali ‘Imran [3:190-191] yang maksudnya:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan bersilih ganti malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal; (iaitu) orang-orang yang mengingat ALLAH sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lalu berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka.”

Petua orang tua mengatakan betapa pentingnya penguasaan ‘bahasa’ bermula dengan ungkapan: “Jika kita ingin mengenal sesuatu bangsa, kuasailah bahasanya.” Maksudnya, jika kita ingin memahami maksud sebenar ayat-ayat ‘qualiyah’ al-Quran, kuasailah maksud bahasa Arab.

Seterusnya jika kita ingin memahami ayat-ayat ‘kauniyah’ dalam al-Quran tentang kejadian alam semesta yang ada di dalam jagat raya ini, ‘bahasa’ yang perlu difahami ialah ‘bahasa matematik’.

ALLAH mengulangi isu matematik ini dalam Surah Al-Furqaan [25:2] yang maksudnya:

“Yang kepunyaan-Nya lah kerajaan langit dan bumi, dan Dia (ALLAH) tidak mempunyai anak, dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan-Nya dan Dia telah menciptakan segala sesuatu (alam semesta dan seisinya) dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya.”

Sebagai bukti, tiada siapa boleh menyangkal Islam ialah pemula atau pencetus kepada pembangunan dan kemajuan bidang matematik seperti algebra, trigonometri sfera dan lain-lain formula yang kemudiannya disebarkan ke Barat.

Sekitar 1127M, Stephen Pisa atau dikenali Stephen Antioch atau Stephen ahli falsafah, ialah seorang penterjemah buku Itali daripada bahasa Arab pada abad ke-12. Beliau juga pakar penterjemahan karya-karya sains Islam seperti hasil kerja perubatan Ali Abbas Al-Majuisi dengan bukunya al-Kitab al-Maliki diterjemah ke dalam bahasa Latin.

Hasil kerja Al-Khawarizmi yang berasal dari Baghdad tentang teori Algoritma dalam bukunya al-Jabar pada abad ke-9 yang diperkenalkan ke Eropah oleh Leonardo Fibonacci dari 1170 hingga 1250. Teori trigonometri sangat berguna sebagai asas ilmu matematik kepada penggunaan ilmu Artificial Intelligence (AI) pada era revolusi industri ke-4 ini.

Contoh lain asas kepada matematik seperti ‘orbit bulan’ daripada perkataan ‘Qamar’ disebut dalam al-Quran sebanyak 27 kali. Orbit elips bulan di sekeliling bumi juga mengambil masa 27 hari. Tetapi ini bukan bermakna nombor dapat dilihat oleh seseorang dari Bumi. Oleh kerana ada 29 hari antara bulan penuh, ia biasanya dianggap bulan mengambil masa 29 hari untuk mengelilingi bumi.

Namun hakikatnya ialah apabila bulan mengelilingi bumi, bumi juga beredar mengelilingi matahari. Oleh kerana pergerakan bumi, bulan melengkapkan orbitnya dengan kelewatan selama 2 hari. Ini dinyatakan dalam Surah Yunus [10:5] yang maksudnya:

“Dia-lah (ALLAH) yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). ALLAH tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui.”

Salah satu ciri penting Islam ialah harmoni lengkap dengan matematik. Apa sahaja ilmu yang ditemui, ia hanya meningkatkan pengetahuan kita mengenai penciptaan ALLAH yang luar biasa. Matematik tidak bercanggah dengan Islam. Para saintis Islam mengkaji misteri tersembunyi kosmos dalam bidang matematik, kimia, fizik, perubatan, astronomi dan biologi.

Penciptaan kompas magnet, dan pendulum jam oleh saintis Islam adalah di antara penciptaan yang disebut beberapa. Banyak sistem kritikal seperti algebra dan konsep zero dalam matematik telah diperkenalkan oleh saintis Islam. Maka kajian tentang ilmu dari alam jagat raya dan seisinya adalah juga beribadah kepada ALLAH.

Kesimpulannya Ramadan adalah bulan yang tersembunyi keindahan kekuatan matematik dalam kehidupan seharian manusia.

* Ir Dr Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!