Ketua jabatan, agensi perlu kerap turun lapangan

Mohd Zuki pada Sesi Bual Bicara bersama KSN sempena Ulang Tahun Ke-20 Program Sarjana Pengurusan Awam di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
Mohd Zuki pada Sesi Bual Bicara bersama KSN sempena Ulang Tahun Ke-20 Program Sarjana Pengurusan Awam di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ketua jabatan dan agensi diingatkan agar kerap turun ke lapangan agar penyampaian dasar dapat disampaikan ke peringkat bawahan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, langkah itu bagi memastikan defisit kepercayaan antara perkhidmatan kerajaan dan penjawat awam dapat diperbaiki.

Menurutnya, sebagai seorang bertanggungjawab ketua jabatan dan agensi perlu memainkan peranan tersebut.

"Semasa saya ambil alih sebagai KSN pada tahun 2020, defisit kepercayaan antara kerajaan dan orang awam agak kritikal sebab penjawat awam sudah lama bersama kerajaan dahulu... Mereka kata kita masih sokong kerajaan terdahulu.

"Sebenarnya tidak kerana kita adalah penjawat awam dan boleh tanya Ketua Setiausaha (KSU) kementerian lain, kita serve government of the day," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bual Bicara Bersama KSN yang dikendalikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar sempena Majlis Ulang Tahun ke-20 Program Sarjana Pengurusan Awam UUM di sini, pada Khamis.

Mohd Zuki berkata, banyak kes penyampaian tidak dapat disempurnakan dengan baik di peringkat bawahan umpamanya seperti berlaku di Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

"Saya pernah pergi tengok orang beratur panjang, jam 10 (pagi) dia (pegawai awam) sudah pergi minum dan hanya tengok orang beratur," katanya.

Ketika berkongsi pengalamannya menangani krisis, Mohd Zuki berkata, tindakan pantas perlu digerakkan setiap kali kerajaan bertukar.

"Kita terus laksanakan tanggungjawab kerana memahami itu adalah kesetiaan," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyentuh mengenai sistem yang diguna pakai di dalam perkhidmatan awam perlu turut diperbaiki.

Menurutnya, banyak rungutan dan aduan diterima berhubung pertindihan sistem.

"Apa yang sering berlaku adalah di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kadang-kadang pelabur merungut kerana perlu merujuk kepada 10 agensi untuk mendapatkan kelulusan melabur di negara kita," katanya.

Beliau berkata, sekiranya kelemahan itu tidak diperbaiki, negara akan ketinggalan.

"Kalau lengah-lengahkan, kita akan ketinggalan jauh dari negara jiran," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Professor Dr Shahimi Mohtar berkata, program Sarjana Pengurusan Awam telah melahirkan lebih 1,000 graduan tempatan dan antarabangsa.

Ia merupakan program sarjana terawal ditawarkan oleh universiti berkenaan sejak 2001.

Jelasnya, setiap graduan yang dilahirkan menerusi program tersebut dilengkapi dengan ilmu, kemahiran dan keupayaan bagi mengurus dan mentadbir cabaran semasa selain mempunyai daya upaya untuk menghasilkan dampak positif kepada organisasi serta masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!