SK Seri Permai tersenarai 10 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia
GEORGE TOWN - Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di Bayan Baru dekat sini disenarai pendek sebagai 10 teratas dalam Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori inovasi menerusi ciptaan Smart and Easy Table (SnET) 2.0.
Guru Besar SK Seri Permai, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail berkata, beliau membangunkan sendiri inovasi meja dan ruangan simpanan buku itu dengan kerjasama para guru bertujuan mengatasi masalah beg sekolah berat.
"Inovasi ini mampu mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif dalam kalangan murid sekolah sehingga menarik minat beberapa negara lain untuk menghasilkan SnET 2.0 di sekolah mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman senarai itu secara dalam talian oleh T4 Education yang berpangkalan di United Kingdom pada Khamis.
Mohammad Sabarullah berkata, kerja-kerja pemasangan meja yang lengkap dengan laci simpanan buku teks dan tempat beg serta kelengkapan menulis itu telah memasuki fasa tiga dengan lebih 500 SnET 2.0 telah digunakan murid di sekolah itu.
"Kami mula membangunkan SnET 2.0 bermula 2020... kira-kira 300 lagi dijangka siap September ini untuk kegunaan kesemua 1,500 murid, SK Seri Permai terdapat dua sesi jadi 800 meja mencukupi untuk murid di sekolah ini," katanya.
Beliau berkata, inovasi pertama di Malaysia dan di dunia itu bukan hanya menangani masalah beg berat iaitu daripada tujuh hingga 10 kilogram (kg) kepada kira-kira 2.5kg bagi setiap murid, malah juga mampu meningkatkan keyakinan dan keseronokan murid untuk hadir ke sekolah.
Beliau berkata, reka bentuk meja dan kerusi serba guna itu dilakukan menerusi jalinan kerjasama Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani dan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda (SMKRTU) serta sokongan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad yang turut hadir pada majlis pengumuman itu mengucapkan tahniah dan berharap sekolah lain di negeri ini dapat mencontohi inovasi sedemikian.
"Kami di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Pendidikan (KPM) sangat berbangga dan gembira dengan pencapaian SK Seri Permai, saya percaya ini ialah hasil usaha semua pihak terutama guru besar, guru-guru dan para murid," katanya.
Abdul Rashid berkata, SK Seri Permai akan menunggu hingga Oktober ini sama ada tersenarai dalam kelompok tiga teratas sebelum pemenang diumumkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!