[VIDEO] Keciciran pelajar bukan hanya disebabkan kemiskinan

Laporan muka depan akhbar Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Mohd Azizee
Laporan muka depan akhbar Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Mohd Azizee
A
A
A

SHAH ALAM - Selain kemiskinan, antara faktor lain keciciran pelajar dalam pendidikan ialah persekitaran sekolah, taraf pendidikan keluarga termasuk kreativiti guru," kata Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia, Mohd Azizee Hasan.

Jelas beliau, persekitaran sekolah yang tidak kondusif akan menghilangkan minat pelajar untuk terus berada di sekolah.

"Saya setuju antara sebab yang menyebabkan berlakunya keciciran pendidikan itu selain daripada faktor kemiskinan antaranya adalah ekosistem atau persekitaran sekolah.

"Jika sekolah tidak mempunyai persekitaran positif, konstruktif dan juga menarik minat serta motivasi untuk belajar, ia akan memberi kesan kepada keciciran pendidikan," katanya dalam program Sinar Live bertajuk: Berhenti belajar sebab miskin," pada Khamis.

Tambah Mohd Azizee, latar belakang keluarga sekiranya tidak mempunyai pendidikan yang baik juga memberi impak kepada pelajar.

Susulan itu, ujarnya, ia akan menyebabkan mereka kurang kesedaran betapa pentingnya pendidikan untuk anak-anak dalam menaiktarafkan hidup menjadi lebih baik.

Menurut beliau, guru juga mainkan peranan untuk membina keperibadian pelajar terutama dalam memupuk kesedaran, kefahaman, semangat dan motivasi untuk belajar.

"Jika guru tidak kreatif akan menyebabkan pelajar mudah bosan dan malas untuk ke sekolah.

"Jadi, guru perlu kreatif dan inovatif dalam penyampaian ilmu mereka yang mana sentiasa kemas kini kemahiran, kecekapan dan teknologi berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!