Drama televisyen kita terlalu klise

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MERAK Jalanan nak cakap fasal drama televisyen kita. kali ini akan buat ada yang sentap. Sering kali drama Melayu memaparkan plot cerita 'basi'dan terlalu klise.

Merak Jalanan cuma nak berkongsi sudut pandangan peribadi tentang kualiti, hala tuju dan impak moral di sebalik siri drama tempatan yang ditayangkan di stesen-stesen televisyen kita.

Tak kisahlah slot atau episod drama yang mana satu, tapi apa yang nak Merak Jalanan cakapkan di sini ialah bukan semua tapi kebanyakan drama yang disiarkan itu terlalu biasa dari segi skrip, plot cerita dan juga watak.

Apa yang Merak Jalanan perasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, drama tempatan kita berkisar kepada kisah cinta orang kaya dengan orang M40 mahupun B40.

Episod mak tak merestui percintaan atau perkahwinan si anak terunanya dengan gadis daripada golongan kebanyakan.

Plot cerita antara drama-drama ini tak jauh bezanya. Cuma pusing-pusing sikit sana sini, ubah watak, ubah jalan cerita tapi pengisiannya lebih kurang sama saja.Watak ibu yang bertudung sering diangkat sebagai watak antagonis.

Penuh dengan perasaan hasad dengki, dendam dan cita-cita mahu menghancurkan perkahwinan anak dengan menantu bukan pilihan.

Gambaran buruk seumpama itu berikan satu persepsi negatif kepada masyarakat. Asal wanita kaya saja mesti jadi mak yang jahat, mak mertua yang kejam dan ibu yang hilang sifat penyayang kerana taraf dan keturunan.

Yang lucunya dalam setiap drama ini mesti ada satu watak antagonis ‘penyondol’ untuk memancing emosi para penonton.

Bagi Merak Jalanan, para karyawan drama tempatan kena berubah. Cubalah berikan satu hasil karya yang berlainan dan mampu mendidik masyarakat ke arah pemikiran positif serta membina minda.

Kalau Merak Jalanan lihat, industri perfileman dan drama Indonesia, Hindi mahupun Tamil sudah lama berubah.

Mereka kini menghasilkan karya-karya yang amat berlainan. Bukan lagi berkisar kepada kisah cinta antara dua darjat dan jalan cerita yang klise.

Jadi kita juga kena berubah dan kita bertanggungjawab untuk ubah cita rasa penonton tempatan.