De la Fuente lega Sepanyol menang
JURULATIH Sepanyol, Luis de la Fuente boleh menarik nafas lega apabila membimbing pasukannya mara ke final Liga Negara-Negara selepas membenam Itali 2-1 di Enschede awal pagi Jumaat.
Kemenangan itu memberi keyakinan kepada Sepanyol selepas permulaan hambar awal tahun ini.
Ia merupakan final kedua berturut-turut Sepanyol dan akan membuatkan perhitungan dengan Croatia pada Isnin.
Kemenangan itu mengendurkan tekanan ke atas De la Fuente selepas kalah aksi keduanya sebagai pengurus, 0-2 kepada Scotland dalam kelayakan Euro 2024 Mac lalu.
"Kami hanya memerlukan masa. Saya selalu berkata ini adalah satu proses," kata De la Fuente.
Dalam aksi di Stadium De Grolsch Veste itu, skuad La Roja terlebih dahulu di depan menerusi Yeremy Pino sebelum Ciro Immobile menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti.
Ketika aksi dilihat mungkin berlarutan ke masa tambahan, Joselu muncul wira apabila meledak gol kemenangan Sepanyol dua minit sebelum wisel penamat.
Sepanyol perlu meneruskan momentum ini untuk menewaskan Croatia dalam perlawanan akhir di Rotterdam awal minggu depan, kata pemain tengah Manchester City, Rodri.
"Kami menentang Croatia beberapa kali, mereka sangat kompetitif sebagai satu pasukan. Memiliki pemain individu yang cemerlang dan terus berusaha sehingga tamat permainan.
"Kami mempunyai peluang untuk bersaing merebut trofi. Kami tidak boleh membiarkan perkara itu terlepas (kejuaraan)," ujar Rodri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!