Polis Pulau Pinang tahan 38 along sejak 5 Jun

Kok Chin memeriksa barisan ketika mengadakan lawatan ke Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut pada Jumaat.
Kok Chin memeriksa barisan ketika mengadakan lawatan ke Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menahan 38 peminjam wang tidak berlesen (along) sejak operasi khas dilancarkan pada 5 Jun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, operasi khas tersebut dilancarkan bagi memerangi kegiatan haram along sekitar negeri ini.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 72 tahun dengan empat daripada mereka adalah wanita.

"Kebanyakan tangkapan dibuat di Pulau Pinang. Bagaimanapun, terdapat beberapa tangkapan dibuat di negeri jiran kerana mereka melarikan diri selepas mengetahui operasi khas yang kita jalankan.

"Sejak mula operasi secara besar-besaran ini awal bulan ini hingga semalam (Khamis), kita berjaya menahan 38 peminjam wang tidak berlesen secara keseluruhannya,” katanya selepas lawatan kerja ke Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong.

Ditanya sama ada penahanan itu ada kaitan dengan ugutan terhadapnya baru-baru ini, Kok Chin berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Beberapa peminjam wang haram yang kita tangkap sedang disiasat untuk kes lain. Ini kerana, sebelum ini, kita telah membuka kertas siasatan terhadap mereka di atas kes lain.

"Dengan penahanan mereka, kita boleh melengkapkan kertas siasatan tersebut," ujarnya.

Beliau berkata, kesemua 38 yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Sebelum ini, Polis Pulau Pinang menahan 13 suspek terdiri daripada along di negeri ini dan sekitar Perak bagi membantu siasatan berhubung sepucuk surat amaran dan ugutan jenayah yang diterima Kok Chin pada 1 Jun lalu.

Surat ugutan itu dibuat bagi mendesak agar Polis Pulau Pinang menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen di negeri ini.

Kesemua mereka ditahan kurang daripada 24 jam sejak operasi khas dijalankan.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperhebatkan usaha dan sedang memburu sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang menghantar sepucuk surat amaran dan ugutan jenayah kepada Kok Chin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya memandang serius tindakan biadab dan melampau along yang berani mencabar dan mengugut pegawai tertinggi PDRM di Pulau Pinang.

Surat layang tersebut yang dimasukkan di dalam sampul surat, telah diterima pada 1 Jun lalu melalui perkhidmatan Pos Malaysia.

Acryl berkata, pemeriksaan awal PDRM terhadap sampul surat tersebut mendapati terdapat enam keping replika wang kertas ‘duit mayat’ dan sekeping nota berbentuk amaran agar polis menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen di Pulau Pinang.

Tambah beliau, surat layang terbabit turut berserta nota berunsur ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang bahawa akan membakar kedai serta balai polis sekiranya amaran berkenaan tidak diendahkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!