Maqis rampas 1,328 kg makanan haiwan tiada permit
BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas konsainan makanan haiwan (pet food) seberat 1,328.8 kilogram bernilai RM16,942 dari China kerana tidak mempunyai permit import yang sah.
Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, rampasan itu dibuat di pintu masuk Dermaga Air Dalam di sini pada Rabu lalu.
Menurutnya, kesemua makanan haiwan terbabit didapati diisi dalam 182 kotak ketika pemeriksaan dibuat.
"Pemeriksaan kami mendapati kesemua makanan haiwan itu tidak mempunyai permit import Maqis yang sah seperti yang ditetapkan. Oleh itu, kita merampas semua konsainan tersebut untuk siasatan lanjut.
"Kegagalan untuk mengemukakan permit import bagi pengimportan makanan haiwan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, Maqis Pulau Pinang sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan dan memastikan di semua pintu masuk negara bersama agensi penguatkuasaan di sempadan bagi memastikan komoditi keselamatan keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan keselamatan makanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!