Ejen nafi rundingan Salah, PSG
EJEN Mohamed Salah menepis dakwaan bintang Mesir itu ada berbincang dengan presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi mengenai kemungkinan untuk berkelana ke Parc des Princes.
Laporan di seluruh benua Afrika dan Perancis pada Khamis menyebut bahawa pemain berusia 31 tahun itu bertemu dengan ketua PSG, Al-Khelaifi di Maghribi.
Bagaimanapun ejen pemain itu, Ramy Abbas Issa segera menafikan pertemuan itu berlaku menerusi akaun Twitter miliknya.
“Tidak, dia tidak bertemu pun. Itulah yang sebenarnya,” kata Abbas mengulas laporan berita di Perancis.
Berita tersebut pastinya melegakan peminat The Reds yang bimbang penyerang itu mungkin berpindah ke kelab lain termasuk berhijrah ke Perancis.
Salah yang mengumpul 30 gol dalam semua pertandingan menikmati musim menakjubkan di Liverpool walaupun kelab itu bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dia menandatangani perjanjian baharu tahun lalu yang akan mengekalkannya di Anfield sehingga 2025, namun terdapat spekulasi mengenai masa depannya dengan Liverpool selepas gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp sebelum ini menafikan khabar angin Salah mungkin berpindah dari kelab gergasi Inggeris itu pada musim panas ini.
“Jangan risau mengenai Salah. Saya hanya mendengar apa yang dia katakan. Saya tidak membaca berita lain yang tidak berkaitan.
“Mo (Salah) suka berada di sini dan dia adalah sebahagian daripada pasukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!