Piala Asia: FAM, KBS sedia bantu 'terbangkan' penyokong ke Qatar
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mencongak memastikan seramai mungkin penyokong bola sepak negara dapat menyaksikan skuad Harimau Malaya beraksi di Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, satu mesyuarat melibatkan badan induk itu, KBS, syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines dan kumpulan penyokong tegar pasukan negara Ultras Malaya akan diadakan pada Khamis depan.
“Saya juga telah berhubung dengan Duta Besar Malaysia ke Qatar, beliau sedia untuk bantu dari segi tempat tinggal kerana tempoh skuad kebangsaan beraksi agak lama iaitu lawan Jordan pada 15 Januari, Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari), jadi kita akan bantu mana yang boleh untuk senangkan penyokong.
“Dari segi penerbangan, kalau dapat penerbangan sewa khas lagi baik tetapi kita perlu tahu jumlah yang pergi. Saya fikir ia tidak jadi masalah kerana Malaysia Airlines akan membantu,” katanya ketika ditemui selepas program Townhall Bersama Presiden FAM di Kuala Nerus pada malam Khamis.
Pada saingan Piala Asia 2023, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama-sama juara dua kali, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
Pada Jun tahun lepas, skuad Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon mencipta sejarah apabila menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 1980 di Kuwait.
Kali terakhir Malaysia beraksi pada Piala Asia ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.
Sementara itu, wakil Ultras Malaya, Mohd Ridzuan Ahmad yang lebih dikenali sebagai Lekir berkata, tiga perkara yang menjadi perhatian penyokong adalah harga tiket penerbangan, akses membeli tiket perlawanan dan penginapan sepanjang di Qatar.
“Biasanya harga tiket pergi dan balik antara RM4,500 ke RM5,000, jadi macam mana kos ini boleh dikurangkan begitu juga dari segi tiket perlawanan. Kita juga tahu di Qatar ada tempat penginapan milik Malaysia, mungkin boleh dapat kadar yang tidak terlalu tinggi.
“Saya yakin sekiranya ketiga-tiga perkara itu kosnya dapat dikurangkan, lebih ramai penyokong akan pergi,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 150 penyokong tempatan hadir ke program Townhall Bersama Presiden FAM yang berlangsung selama dua jam bagi berkongsi pandangan dan idea serta mengetahui lebih mendalam berkaitan skuad kebangsaan dan perkembangan bola sepak tanah air.
Hadir sama, dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram; tiga Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail, Mohd Joehari Mohd Ayub dan Datuk Posa Majais serta Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!