Calon MB: Belum ada perbincangan sama ada BN, PH - Aminuddin
REMBAU - Masih belum ada perbincangan mengenai calon Menteri Besar Negeri Sembilan bagi gabungan kerjasama Pakatan Harapan(PH) dan Barisan Nasional(BN) sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri(PRN) yang akan datang.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, apa yang menjadi keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan pada PRN.
"Kita tak bincang lagi kerana paling penting pastikan kemenangan dulu. Tapi bagi saya dalam semangat perpaduan kita perlu ada 'give and take'," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Program Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET) Madani, Jom Pilih Kemahiran di Institut Latihan Perindustrian Pedas pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan sama ada sudah ada perbincangan sama ada calon PH atau BN yang akan diberi jawatan Menteri Besar.
Sementara itu, beliau yang merupakan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat(PKR) Negeri Sembilan berkata, kesemua senarai calon parti itu telah pun dihantar kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat untuk dibuat penilaian.
Bagaimanapun katanya, parti masih membuka ruang kepada sesiapa yang berhasrat menghantar nama calon yang dirasakan bersesuaian selagi senarai calon belum diumumkan.
"Kita di peringkat negeri masih lagi terbuka untuk sesiapa sahaja yang berhasrat tawarkan diri dan terpulang kepada kepimpinan tertinggi parti untuk tentukan.
"Nama-nama yang diterima sama ada melalui Majlis Pimpinan Negeri atau melalui Cabang, semuanya kita hantar. Ada juga yang secara terus hantar nama kepada pusat," katanya
Dalam pada itu Aminuddin turut memaklum tidak mengetahui keputusan mesyuarat rundingan kerusi antara PH dan BN pada PRN yang berlangsung pada malam Khamis.
"Saya tak hadir malam tadi dan saya belum dapat keputusan lagi. Mungkin boleh tanya pada mereka yang hadir.
"Saya tengok tiada apa-apa 'update'," ujarnya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, pembahagian kerusi DUN antara PH dan BN bagi menghadapi PRN di enam negeri masih menjadi teka-teki dengan pemimpin yang hadir terus membisu.
Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perbincangan yang dipengerusikannya itu berjalan lancar namun enggan mendedahkan perinciannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!