PRN: PN Pahang bantu kempen calon di tiga negeri

Saifuddin menunjukkan laporan enam bulan pertama Ahli Parlimen Indera Mahkota itu selepas menyandang jawatan itu selepas PRU15 di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini pada Jumaat.
Saifuddin menunjukkan laporan enam bulan pertama Ahli Parlimen Indera Mahkota itu selepas menyandang jawatan itu selepas PRU15 di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang akan menggerakkan jentera bagi membantu kempen calon parti dalam gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga negeri.

Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kekuatan jentera daripada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan diagihkan secara sama rata di Terengganu, Kelantan dan Selangor.

Menurutnya, perkara itu diputuskan Majlis Tertinggi PN Pusat dan PN Pahang bersedia untuk membantu ke tiga negeri terlibat sebagaimana yang diarahkan.

"Esok (Sabtu) kita akan mengadakan mesyuarat Badan Perhubungan PN negeri bagi melihat persediaan untuk kita membantu ke tiga-tiga negeri yang terlibat dengan PRN.

"Malah, Kita juga akan bahagi pasukan (jentera) mengikut keperluan, Kita ada 14 kawasan Parlimen dan jentera yang akan dihantar mengikut keperluan mereka.

"Kelantan dan Terengganu hampir sama keperluannya manakala Selangor mungkin sedikit berbeza kerana komposisi dan profil pengundi mereka. Jadi mungkin ada kaedah tertentu untuk kami menghantar pasukan untuk membantu masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini pada Jumaat.

Pada sidang akhbar terbabit, Saifuddin turut membentangkan laporan enam bulan pertama Ahli Parlimen Indera Mahkota itu selepas menyandang jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Saifuddin juga menjangkakan PRN, berlangsung sekitar awal Ogos ini kerana sudah sampai tempoh pembubaran.

"Hanya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang tahu secara tepat, tapi berdasarkan perkiraan kita PRN akan berlaku pada awal Ogos, logiknya menunggu kepulangan jemaah haji," ujar beliau.

Menjawab isu ’warlord’ UMNO yang akan sertai PN sebelum PRN ini, Saifuddin memaklumkan tidak mengetahui perkara terbabit.

Sebaliknya, beliau difahamkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan membentangkan Akta Anti Lompat Parti pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka pada Ogos ini.

“Sama ada, ada yang akan melompat ke PN atau tidak, itu saya tidak tahu. Yang saya tahu ialah Menteri Besar ingin membentangkan Akta Lompat Parti dalam sidang DUN akan datang.

“Kami di PN Pahang menunggu taklimat selanjutnya. Cuma adakah akta ini hendak dibentang kerana takut ada ADUN mereka yang akan melompat, itu saya tidak tahu,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!