400 ekor ayam 'licin' dalam masa sejam
KOTA BHARU - Sebanyak 400 ekor ayam segar yang dijual dengan harga RM7 sekilogram 'licin' dalam tempoh sejam selepas diserbu pengunjung Program Jualan Rahmah di Kampung Parit Limbat di sini pada Jumaat.
Seorang pengunjung, warga emas, Rapiah Talib, 66, tidak melepaskan peluang untuk membeli ayam yang dijual dengan harga murah itu.
Rapiah yang tidak mempunyai pendapatan dan mengalami sakit lutut tiba dalam keadaan bertongkat ke lokasi jualan seawal jam 8.30 pagi walaupun jualan bermula pada jam 9 pagi.
“Saya hanya tinggal bersebelahan dengan lokasi jualan ini dan mengambil peluang walaupun berjalan perlahan-lahan untuk datang membeli dua ekor ayam yang berharga RM7 sekilogram berbanding harga biasa sekitar RM9.50 sekilogram.
“Biasanya seekor ayam dibeli dengan harga lebih RM20 dan hari ini kosnya sekitar RM11 sahaja. Program ini amat membantu meringankan keperluan tujuh ahli keluarga di rumah,” katanya ketika ditemui pada program itu pada Jumaat.
Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Abdullah Zakaria, 73, berkata, kerajaan perlu memperbanyakkan program jualan murah seumpamanya berbanding dilakukan hanya bermusim.
“Kos sara hidup meningkat menyebabkan wang tidak pernah cukup untuk menampung pelbagai perbelanjaan. Sebanyak RM100 digunakan untuk kos ikan sahaja dalam tempoh seminggu.
"Lebih-lebih isi rumah ramai seperti saya sembilan orang dan belum lagi dikira kos petrol, elektrik dan air.
“Selainnya, kerajaan juga perlu menguatkuasakan kawalan harga secara lebih kerap bagi menggelakkan peniaga menaikkan harga barangan secara melampau,” katanya.
Tukang sapu, Siti Eshah Umar, 72, pula berkata, hanya berpendapatan RM120 bagi dua minggu melakukan tugas membersihkan laman rumah.
“Semasa ada jualan murah seperti ini barulah saya boleh berbelanja lebih sikit, kalau tidak makan sekadar sahaja.
“Saya harap kerajaan menambah lagi barangan jualan seperti sayuran bagi memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai untuk berbeli dengan harga murah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!