Hidup mohon dapatkan perintah dakwa individu seksa anak kera
KUALA LUMPUR - Seorang aktivis haiwan dan Pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia Global (Hidup) memohon kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa seorang individu yang membunuh anak-anak kera untuk hiburan dengan menjual video penyeksaan itu di aplikasi Telegram.
Dr Kartini Farah Abdul Rahim, 50, dan pertubuhan itu selaku pemohon, mengambil tindakan undang-undang menerusi Tetuan Raj & Sach dengan menamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), AGC dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.
Menerusi dokumen yang diperoleh pemberita, pemohon mendakwa, terdapat banyak rakaman video menunjukkan sesi penyeksaan terhadap anak-anak monyet jenis kera iaitu 'ong-tailed macaques/Macaca Fascicularis'.
Menurut pemohon, rakaman seperti mengerat leher binatang itu dengan menggunakan gunting, membakarnya ketika ia masih hidup dan memotong jari haiwan berkenaan secara satu persatu, telah dikongsi dalam aplikasi Telegram yang disertai ratusan individu.
“Pada 20 Januari, saya membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, Selangor dan menyerahkan maklumat terperinci mengenai individu terbabit, malah semasa siasatan, dia mengaku melakukan penyeksaan terhadap haiwan.
"Laporan polis dibuat, hasil maklumat dua persatuan pencinta haiwan iaitu Action for Primates dari United Kingdom dan Lady Freethinker dari Amerika Syarikat," kata permohonan.
Bagaimanapun, dia berkata, individu berkenaan telah dibebaskan tanpa sebarang tuduhan dibuat.
Susulan itu beliau berkata, pada 5 April lalu, peguamnya telah menerima surat daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menyatakan bahawa, kertas siasatan kes ini telah dirujuk kepada pihak pendakwaan, namun diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
Menurutnya, surat lanjutan dihantar kepada AGC bagi mendapatkan alasan berkenaan, tetapi pada 22 Mei lalu, Bahagian Pendakwaan AGC memaklumkan ia bukan amalan jabatan terbabit, untuk memberi alasan bagi sesuatu keputusan NFA.
Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili kedua-dua pemohon ketika dihubungi mengesahkan pemfailan permohonan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!