Cahaya tak pilih kasih bantu orang

Cahaya menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang
Cahaya menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang
A
A
A

BALIK PULAU - Pempengaruh yang menggunakan nama akaun @cahayaicha tidak menyangka dengan membeli semua jualan pelbagai keropok daripada seorang kanak-kanak lelaki ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu di sebuah kompleks beli belah tular di pelantar media sosial TikTok.

Para pengikut dan warga maya teruja melihat kegembiraan kanak-kanak lelaki tersebut yang ditemani pakciknya yang berkerusi roda kerana sakit kronik boleh pulang awal pada hari tersebut.

“Saya tidak merancang untuk membeli semua keropok tersebut yang berjumlah RM90, saya memberi RM100 kepada kanak-kanak itu dan bakinya saya sedekahkan kepadanya. Kanak-kanak tersebut amat gembira kerana tidak menyangka saya membeli semua jualan keropoknya.

“Saya datang ke pusat beli belah Belah Bukit Jambul bersama seorang rakan, dia ada membuat rakaman ketika saya membeli keropok tersebut.

NUR CAHAYA
NUR CAHAYA

Selepas itu, video yang tidak dirancang rakamannya, saya kongsikan di akaun TikTok saya, ia tular dan mendapat hampir 700 ribu tontonan (view)” jelas Cahaya atau nama sebenarnya Nur Cahaya Gulo, 25 tahun.

Selepas mendapat banyak reaksi positif daripada para pengikut dan jumlah pengikutnya bertambah kerana perkongsian video tersebut, Cahaya tidak menoleh ke belakang lagi untuk lebih giat membantu lebih ramai individu yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan.

“Ramai pengikut baru mengikuti akaun TikTok saya dan para pengikut saya amat menyokong usaha murni saya menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang mereka.

“Mereka mendoakan kesejahteraan saya, memberi banyak kata-kata semangat agar berkongsi lebih banyak video seumpamanya di akaun TikTok saya. Bantuan yang saya hulurkan tidak terhad dengan memberikan makanan kering sahaja, kadang kala saya beri makanan yang sedia dimakan, peralatan rumah dan juga wang tunai.

“Kadang kala dalam dompet saya ada RM50 sahaja, saya akan sedekahkan RM5, RM10 atau RM20 kepada gelandangan dan orang yang saya rasa memerlukan duit tersebut.

“Oleh kerana jumlah pengikut saya semakin bertambah dari hari ke hari yang kini mencecah 4 juta orang dan lebih 26 juta tontonan, banyak pemilik restoran dan pengusaha mahu saya membuat review makanan di restoran dan produk keluaran mereka.

“Setiap review tersebut dibayar dengan jumlah tertentu, daripada jumlah bayaran tersebut, 10 peratus saya akan sedekahkan kepada golonagn yang memerlukan,” ujar Cahaya yang berasal dari Medan, Indonesia.

Cahaya yang kini menetap di Bayan Lepas bertemu jodoh dengan seorang optometris yang berasal dari Sabah ketika bercuti di Pulau Pinang kira-kira empat tahun yang lalu.

Menurut Cahaya, jika di awal kemunculannya di pelantar TikTok, Cahaya tidak mempunyai pasukan penerbitannya, kini beliau akan bergerak bersama dua orang pembantu untuk merakam aktiviti murni memberikan bantuan tersebut di pelbagai lokasi sekitar Pulau Pinang.

“Memandang saya adalah pencipta kandungan (content creator) sepenuh masa, jadi saya mengambil keputusan untuk mempunyai pasukan penerbitan yang lebih professional dan efisien melakukan kerja-kerja pengambaran dan suntingan.

“Setiap rakaman dibuat mengambil masa lebih kuran 30 minit dan disunting untuk dikongsikan di TikTok bagi siaran tiga hingga enam minit dengan muzik latar dan grafik yang lebih menarik.

“Saya pernah mendapat tontonan melebihi 22 juta untuk satu video di mana saya memilih seorang pengikut bertuah menerima cincin emas yang berharga sekitar RM600,” terang Cahaya yang amat gemar dengan makanan nasi kandar dan tom yam.

Baru-baru ini, Cahaya memberi sumbangan telefon pintar kepada seorang lelaki yang bekerja sebagai penyapu sampah. Ketika bersiaran secara langsung di TikTok, Cahaya mendapat reaksi positif daripada para pengikutnya kerana memaklumkan lelaki tersebut mengalami kesukaran untuk pergi ke tempat kerja kerana motosikalnya rosak.

“Ramai pengikut menyatakan keinginan untuk menyumbang wang tunai bagi membantu saya membeli motosikal yang baharu. Alhamdulillah berkat sumbangan orang ramai dan wang poket sendiri, saya berjaya menghadiahkan lelaki tersebut motosikal baharu yang berharga RM4 ribu,” jelas Cahaya lagi.

Seorang penerima bantuan motosikal bersyukur dan terharu dengan pertolongan yang diusahakan Cahaya.
Seorang penerima bantuan motosikal bersyukur dan terharu dengan pertolongan yang diusahakan Cahaya.

Cahaya berkata beliau terinspirasi untuk membuat kerja-kerja kemanusiaan ini kerana pernah mengalami kesusahan hidup, ibu bapa kerja sebagai petani dengan tujuh orang adik beradik. Kehidupan mereka amat sederhana dan tidak bermewah-mewah kerana kewangan keluarga yang amat terhad.

“Saya berharap masyarakat umum khususnya pengikut di TikTok saya agar sentiasa bersedekah kerana untuk bersedekah kita tidak perlu tunggu menjadi kaya. Kita wajar sentiasa mempunyai sikap untuk bersedia menghulurkan bantuan dan beranggapan jika kita susah, ada lagi orang yang lebih susah.

“Saya sangat bersyukur kerana suami, keluarga saya dan keluarga mertua sangat menyokong usaha tersebut. Mereka sering menasihatkan saya agar selalu merendah diri, jangan riak dan menunjuk-nunjuk secara berlebihan terhadap setiap perbuatan baik yang dilakukan,” terang Cahaya mengakhiri perbualan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!