Cubaan bawa masuk durian guna bas persiaran gagal

Maqis Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk 656kg durian tanpa permit import di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada Selasa.
Maqis Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk 656kg durian tanpa permit import di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada Selasa.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk durian tanpa permit import menggunakan bas persiaran pada Selasa lepas.

Ketua Pintu Masuk Bukit Kayu Hitam, Mohd Sukor Shafie berkata, bas persiaran itu dikesan membawa 656 kilogram (kg) durian ketika pemeriksaan rutin di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada jam 2.30 petang.

"Hasil pemeriksaan mendapati durian dari Thailand dianggarkan bernilai hampir RM10,000 itu cuba dibawa masuk tanpa permit import.

"Sehubungan itu, kita menahan durian tanpa permit import itu untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kegagalan mengemukakan permit import yang sah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Menurutnya, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, Maqis tekad menjaga biosekuriti makanan negara dengan memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma dan makanan diimport dan dieksport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar.

"Malah, kita akan memastikan aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan dipatuhi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!