Agong berkenan solat Jumaat di Masjid Sri Sendayan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bersalaman dengan para jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sri Sendayan, pada Jumaat. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bersalaman dengan para jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sri Sendayan, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Sri Sendayan, di sini pada Jumaat.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada jam 1 tengah hari di masjid tersebut diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd Rashid Hussain, iaitu individu yang mewakafkan masjid berkenaan.

Khutbah Jumaat bertajuk ‘Nikmat Kesihatan’ disampaikan Imam Mohd Nazri Abu Zarim dan turut mengimamkam solat Jumaat yang terdiri daripada lebih 2,000 jemaah.

Mohd Nazri dalam khutbahnya mengajak jemaah untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah seperti membanyakkan solat, zikir, selawat dan membaca al-Quran sebagai terapi untuk jiwa, minda serta tubuh badan selain mengamalkan pemakanan seimbang, sihat dan halal.

Selesai solat Jumaat, Seri Paduka berkenan meluangkan masa bersalaman dengan jemaah selain mengurniakan sumbangan kepada golongan asnaf, anak yatim dan kanak-kanak.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan melihat keindahan seni reka masjid berkenaan yang mula dibangunkan sejak 2015 dan dirasmikan pada 20 Sept 2019.

Tarikan utama Masjid Sri Sendayan, terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari sini, dibina di tapak seluas 4.5 hektar dengan kos lebih RM100 juta adalah hasil seni dan arkitek yang dibawa hampir sepenuhnya dari luar negara seperti Mesir, Turki, Dubai, Maghribi dan China. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!