Cadangan tetapkan tarikh bubar Parlimen wajar dipertimbang
GOPENG - Cadangan supaya tarikh pembubaran Parlimen ditetapkan sehingga habis penggal wajar dilaksanakan bagi memastikan Ahli-ahli Parlimen dapat menumpukan tugas mereka sebagai wakil rakyat.
Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, cadangan itu amat baik bagi tujuan kestabilan kerajaan kerana sejak 10 hingga 20 tahun kebelakangan ini keadaan politik di dalam negara tidak menentu sehingga berlaku pertukaran kerajaan dalam penggal yang sama.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan ada dalam kalangan wakil rakyat yang tidak dapat memberi tumpuan kepada tugas di kawasan sebaliknya sibuk berpolitik untuk memastikan kerajaan kekal.
"Kalau tak tentu tarikh pembubaran pilihanraya akan ada implikasi terhadap ketidaktentuan keadaan politik ia akan menyebabkan keyakinan pelabur akan mengganggu segala urusan perniagaan dan sebagainya dengan pihak swasta dan juga pihak pentadbiran
"Bagaimana pun perkara ini terikat dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana kuasa bagi membubarkan Parlimen setakat ini di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar isu pembinaan Dewan Serbaguna Lawan Kuda di Gelanggang Bola Keranjang Lawan Kuda di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada Khamis yang mencadangkan supaya kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan tarikh pembubaran Parlimen menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menstabilkan politik tanah air.
Hadir sama pada sidang akhbar itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Ahmad Suqairy Alias.
Dalam perkembangan lain, Kar Hing berkata, pihaknya bersama-sama Sandrea Ng merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja dan ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi meletakkan sasaran untuk menyelesaikan isu berkaitan kemudahan asas penduduk bagi tahun pertama sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, antara tumpuan kemudahan asas tersebut membabitkan medan selera, dewan serbaguna, jalan raya dan sebagainya di dalam kawasan Parlimen Gopeng.
Sementara itu, beliau menjelaskan sekurang-kurangnya lima tapak sudah dikenal pasti untuk dibina dewan komuniti baharu di kampung-kampung tradisional di kawasan Parlimen berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!