LHDN serbu rumah Hamzah: Helah politik murahan burukkan PN
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] "Ini adalah satu lagi percubaan untuk memburukkan PN (Perikatan Nasional) dan helah politik murahan parti lawan", kata Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa kerajaan menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai alat untuk memberikan imej buruk kepada PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Menurutnya, malah, serbuan pegawai di kediaman Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Selasa dikatakan seperti tindakan terdesak oleh kerajaan
"Saya andai ini adalah helah politik murahan murahan ketika PH-DAP-BN (Barisan Nasional) 'desperate' untuk berhadapan dengan PRN.
"Ketika ini tak berkesan sebagai kerajaan dan harus memburuk-burukkan pimpinan kanan dalam Bersatu dan dalam PN, dan inilah yang sedang berlaku," katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas berita mengenai serbuan oleh pegawai LHDN di rumah Hamzah di Damansara, Kuala Lumpur.
Dilaporkan, dalam serbuan dan penggeledahan pada 11 pagi Selasa itu, beberapa dokumen turut dirampas.
Ahli Parlimen Indera Mahkota mengakui ada menghubungi Hamzah bagi mendapatkan gambaran cerita sebenar yang berlaku.
"Yang dikatakan hendak disiasat itu adalah perkara yang sama yang disiasat sebelum ini.
“Soalnya apa dia niat di sebalik siasatan tersebut dan kenapa keluar media? Dari mana punca keluarnya cerita itu kepada media? Betulkan dari LHDN atau dari pejabat lain?
"Yang saya tahu berita itu bukan keluar dari LHDN, dari pejabat lain," katanya.
Sebelum ini media, melaporkan rumah Ketua Pembangkang itu diserbu dan digeledah oleh pegawai dari LHDN.
Pada Februari lalu, Ahli Parlimen Larut itu menuduh kerajaan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik selepas agensi terbabit membekukan akaun Bersatu.
Beliau kemudiannya menafikan terbabit dengan kes rasuah berjumlah RM15 juta selepas namanya terdapat dalam kertas pertuduhan terhadap ahli perniagaan, Sim Choo Thiam.
Choo Thiam didakwa pada Mei lalu atas tuduhan meminta RM15 juta daripada seorang ahli perniagaan Hep Kim Hong, pada Jun 2021.
Pendakwa Raya berkata, wang itu sebagai dorongan untuk Hamzah membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd mendapatkan projek daripada kementeriannya.
Choo Thiam juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan menerima RM15 juta untuk mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan itu.
Hamzah berkata, pertuduhan mengaitkannya sengaja dibuat untuk mencemar namanya sebagai bekas menteri di kementerian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!