Pemerdagangan manusia: KDN tingkat usaha buat pendakwaan
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah tersebut merupakan salah satu daripada 15 syor penambahbaikan dan pelan tindakan yang perlu dilaksanakan untuk penilaian Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang (TIP) bagi tahun berikutnya.
"Kita tengok kelompongan dari segi peraturan, undang-undang, penguatkuasaan dan eksploitasi. Sudah tentu dalam radar kita adalah pembabitan penjawat awam," katanya menerusi sidang akhbar khas di KDN di sini pada Jumaat.
Meskipun begitu beliau berkata, pembabitan penjawat awam tidak membimbangkan berbanding watak lain seperti majikan dan ejen.
"Tetapi badan (JNAS) yang menilai kita ini berpendapat hal itu tidak mungkin boleh berlaku tanpa penglibatan di kalangan penjawat awam," ujar beliau.
Saifuddin berkata, pengabaian di dalam aspek pematuhan oleh penjawat awam dianggap JNAS sebagai pembabitan di dalam pemerdagangan manusia.
"Misalnya pegawai yang bertugas perlu memastikan beberapa perkara itu kena ada, jadi dia memalingkan dari aspek itu yang membolehkan pemerdagangan berlaku," katanya.
Ujar beliau, mangsa pemerdagangan yang diselamatkan perlu diberi perlindungan dan boleh bergerak bebas.
"Ini juga penambahbaikan yang kita akan memudahkan," katanya.
Menurut laporan yang dikeluarkan pada Khamis malam, Malaysia berada pada kedudukan Tahap 2 Pemerhatian daripada Tahap 3 sebelum ini di dalam JNAS.
Pemerdagangan manusia dan operasi penipuan siber masih menjadi kebimbangan bagi Malaysia kerana dalangnya mengeksploitasi pengangguran yang berleluasa semasa dan selepas wabak Covid-19.
Sebelum ini, Malaysia diletakkan pada tahap dua pemerhatian dari 2018 hingga 2020 sebelum jatuh ke tahap tiga, iaitu tahap terendah, pada 2021 sehingga tahun lepas.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kedudukan baharu Malaysia tersebut memberi kesan positif terhadap sektor ekonomi negara.
"Semasa Tahap 3 sebelum ini, kita menghadapi sekatan untuk memasarkan produk sawit dan getah kerana berkaitan isu buruh paksa tetapi sekarang mereka (AS) telah membebaskan Sime Darby Plantation dan Top Glove. Ini memberi kelegaan. Jadi laporan itu signifikan dan relevan terhadap ekonomi negara," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!