Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan perlu bebas daripada KKM

Tarmizi Anuwar
Tarmizi Anuwar
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Pilihan Pengguna (CCC) menggesa proses Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan untuk mengkaji Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bebas daripada pengaruh Kementerian Kesihatan (KKM) dan mempunyai autonomi dalam melaksanakan tanggungjawab.

Wakilnya, Tarmizi Anuwar berkata, pihak jawatankuasa perlu mengadakan sesi libat urus tambahan dengan pihak berkepentingan atau pemegang taruh yang terkesan terutamanya pengguna dan penglibatan pakar daripada pelbagai bidang.

“Hal ini penting bagi memastikan ahli-ahli jawatankuasa tersebut mampu melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa sebarang konflik kepentingan daripada pihak KKM seperti yang berlaku sebelum ini.

“Ia perlu melibatkan pakar daripada pelbagai bidang bagi merangkumi kepelbagai pendapat kerana masalah rokok adalah kompleks dan memerlukan penyelesaian yang komprehensif.

“Usaha jangka panjang mesti dibuat untuk membezakan vape daripada tembakau kerana produk ini mempunyai fungsi yang berbeza,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, dengan menyediakan laporan balas terhadap Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dapat memperluaskan undang-undang sedia ada bagi memasukkan vape kerana nikotin telah dikecualikan daripada Akta Racun.

Jelasnya, angka kematian akibat tembakau adalah sebanyak lapan juta orang setiap tahun berbanding vape yang hanya mempunyai nilai 95 peratus kurang berbahaya.

“Kerajaan perlu mewujudkan undang-undang berbeza antara produk tembakau dengan vape atau rokok elektronik bagi mengelakkan salah faham orang ramai kerana kesan antara kedua-dua produk ini sangat berbeza.

“Usaha mengurangkan bilangan perokok harus disokong, tetapi undang-undang perlu membezakan antara produk tembakau dan vape atau rokok elektronik kerana banyak kajian sainstifik membuktikan menghisap vape adalah 95 peratus lebih selamat daripada merokok,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!