20,000 penduduk terjejas letusan Gunung Berapi Mayon
MANILA - Jumlah penduduk yang dipindahkan akibat letusan gunung berapi paling aktif di Filipina mencecah 20,000 orang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik agensi bencana negara itu pada Jumaat.
Aliran lahar terus mengalir dari puncak Gunung Berapi Mayon di Albay. Pemandangan memukau Mayon yang terkenal dengan bentuk kon sempurna menarik pengunjung ke wilayah timur itu.
Letusan itu telah menjejaskan lebih 38,000 penduduk dan lebih 20,000 penduduk ditempatkan di 27 pusat pemindahan, menurut agensi bencana itu.
Mayon setinggi 2,462 meter memuntahkan laharnya sejak 8 Jun dan aliran pijar telah mencapai jarak satu kilometer dari kawah, menurut Institut Volcanoloy dan Seismology Filipina (Phivolcs) dalam buletin terbaharunya.
Phivolcs berkata, tahap amaran untuk Mayon kekal ditetapkan pada tiga. Letusan berbahaya dijangka berlaku dalam beberapa minggu atau mungkin beberapa hari lagi.
Sementara itu, Mayon kini menjadi tumpuan pelancong dan pendaki ketika pengunjung membanjiri Albay untuk menyaksikan letusan.
Pegawai pelancongan juga mengeluarkan senarai tapak di sekitar wilayah itu yang selamat untuk melihat panorama terutamanya pada waktu petang apabila cahaya paling jelas kelihatan.
Mayon telah meletus lebih daripada 50 kali dalam tempoh 400 tahun yang lalu. Letusan terakhirnya adalah pada 2018, memaksa puluhan ribu orang berpindah. Letusan paling dahsyat berlaku pada tahun 1814, membunuh 1,200 orang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!