TIP: KSM tingkatkan aspek perlindungan sosial, perburuhan

V Sivakumar
V Sivakumar
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan meningkatkan aspek perlindungan sosial dan perburuhan kepada pekerja asing serta domestik di dalam sektor perladangan dan pembuatan sarung tangan getah.

Menterinya, V Sivakumar berkata, peranan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) juga akan diperkukuhkan melalui pembangunan kapasiti pemeriksa buruh bagi memastikan lebih banyak pendakwaan dibuat ke atas majikan yang melakukan kesalahan terutamanya berkaitan kes buruh paksa.

"Kementerian memandang serius isu di bawah bidang tanggungjawab KSM yang telah dinyatakan di dalam penilaian Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang (TIP)," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, sebanyak lapan langkah dikemukakan kementerian antaranya usaha negara untuk membasmi isu buruh paksa secara komprehensif melalui pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang telah berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu akan dipertingkat.

Ia khususnya melalui penambahan Seksyen 90B berkaitan buruh paksa.

"Peruntukan ini menetapkan penalti kepada majikan yang melakukan kesalahan buruh paksa di bawah akta ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerjasama hubungan antarabangsa dengan Amerika Syarikat (AS) melalui penubuhan Jawatankuasa Kerja Bersama (JWG) akan diperkukuhkan.

"Usaha ini akan dapat meningkatkan imej negara dan sekali gus memastikan produk tempatan tidak akan dikenakan sekatan (WRO oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS berkaitan isu buruh paksa," ujar beliau.

Sivakumar berkata, kementerian akan mempergiatkan usaha negara dengan kerjasama wakil kesatuan sekerja, persekutuan majikan dan industri dalam melaksanakan Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) 2021 – 2025 selaras dengan komitmen negara yang telah meratifikasi Protokol 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa ILO 1930 (P29).

Menurutnya, kementerian akan menangani isu-isu berkaitan pengurusan pekerja asing dengan lebih baik termasuk mengadakan kerjasama strategik dengan negara sumber.

"KSM selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh yang merupakan salah satu jawatankuasa di bawah Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkepentingan yang lain bagi meningkatkan prestasi negara dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang khususnya buruh paksa," katanya.

Menurut laporan yang dikeluarkan pada Khamis malam, Malaysia berada pada kedudukan Tahap 2 Pemerhatian daripada Tahap 3 sebelum ini di dalam JNAS.

Pemerdagangan manusia dan operasi penipuan siber masih menjadi kebimbangan bagi Malaysia kerana dalangnya mengeksploitasi pengangguran yang berleluasa semasa dan selepas wabak Covid-19.

Sebelum ini, Malaysia diletakkan pada tahap dua pemerhatian dari 2018 hingga 2020 sebelum jatuh ke tahap tiga, iaitu tahap terendah, pada 2021 sehingga tahun lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!