Wan Junaidi sedia galas jawatan Yang Dipertua Dewan Negara

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan kesediaan untuk menggalas jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara sekiranya dilantik.

Menurut bekas Ahli Parlimen Santubong itu, beliau menzahirkan impian untuk melaksanakan transformasi di peringkat Parlimen sekiranya dilantik.

“Perkara tersebut buat masa ini belum lagi direalisasikan, maka ia sudah pasti menjadi tanggungjawab kepada saya jika memikul tanggungjawab tersebut.

“Saya turut berharap agar kerajaan dapat membantu dalam usaha ini yang merangkumi memperkemas kini peraturan, menggubal undang-undang yang berkaitan dengan Parlimen,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Wan Junaidi juga menambah, beliau telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pencalonan berkenaan.

Namun ujarnya, pelantikan tersebut perlu diiringi dengan penyertaan sebagai ahli Dewan Negara kerana beliau masih belum berbuat demikian.

Baru-baru ini, menerusi satu sumber, nama Wan Junaidi dipersetujui untuk dicalonkan kerana dia memiliki kepakaran dalam bidang undang-undang, selain pengalamannya selama ini.

Beliau yang kini berusia 78 tahun tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas menjadi ahli Parlimen selama tujuh penggal iaitu sejak 1990.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!