Mamat puas hati gegar Velodrom Nasional
JAGUH lumba basikal lebuh raya, Mohd Harrif Saleh bersedia untuk kembali menggegar trek velodrom jika kudratnya masih ditagih skuad kebangsaan Malaysia.
Harrif yang terkenal selaku pakar pecut dalam acara lebuh raya mengakui dia masih rindu untuk berkayuh di trek meskipun sudah meninggalkan 'dunia velodrom' kira-kira 11 tahun lalu.
Bagi mengubati kerinduannya, Harrif tampil beraksi pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 yang sedang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan ketika ini.
Harrif berkata, dia tetap berpuas hati dengan pencapaiannya yang menamatkan acara elimination (perlumbaan penyingkiran) di kedudukan kelapan daripada 15 pelumba yang bertanding.
“Bagi kejohanan ini (ACC 2023), saya hanya sempat melakukan persiapan selama dua minggu. Sebenarnya acara kegemaran saya adalah scratch, tapi pada kejohanan kebangsaan saya tidak menang.
“Saya menang dalam acara penyingkiran dan diberi peluang mewakili negara pada ACC kali ini. Saya berpuas hati dengan pencapaian (menduduki tangga kelapan),” katanya.
Dalam pada itu, Harrif mendedahkan dia telah dinasihati jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk meneruskan kayuhan dalam saingan trek.
“Dia (Azizulhasni) beritahu saya, sebagai pelumba lebuh raya, berlumba di trek juga boleh membantu meningkatkan kekuatan kayuhan, untuk saya cari tenaga.
“Asalkan kita meneruskan latihan, kekal bermotivasi, saya sendiri fikirkan tiada masalah,” jelas Harrif yang meraih pingat gangsa acara scratch pada ACC 2012 - penampilan terakhir di pentas Asia itu.
Ketika ditanya mengenai kesediaannya jika dipilih ke Sukan Asia Hangzhou 2022 di China September ini, Harrif berkata: “Saya sedia untuk terus membawa nama negara, tapi saya perlu mengutamakan pasukan saya (Terengganu Cycling Team).”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!