Pelancong asing disyaki rogol pekerja hotel ditahan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Polis menahan seorang pelancong asing yang disyaki merogol gadis berusia 20 tahun di sebuah hotel di Genting Highlands pada Isnin lalu.

Perbuatan suspek berusia 41 tahun itu terbongkar selepas mangsa merupakan pekerja hotel tampil membuat laporan berhubung kejadian tersebut pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, susulan laporan, suspek telah ditahan di lokasi berhampiran hotel pada jam 1 tengah hari.

"Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 19 Jun ini bagi siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, Zaiham berkata berdasarkan laporan, kejadian sekitar jam 5.20 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa berjalan kaki untuk pulang ke rumah sewa rakannya.

Menurutnya, mangsa telah dipanggil oleh suspek untuk bertanyakan mengenai kemudahan disediakan pihak hotel, sebelum diajak untuk tidur bersama.

"Mangsa menolak pelawaan itu, namun suspek menarik tangan mangsa secara paksa dan membawa masuk ke dalam biliknya seterusnya merogol mangsa tanpa kerelaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya golongan wanita agar sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!