Azizulhasni kembali dinobat Raja Pecut Asia

Azizulhasni meraih pingat emas acara pecut individu lelaki ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai sebentar tadi. - Foto Bernama
Azizulhasni meraih pingat emas acara pecut individu lelaki ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai sebentar tadi. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] JAGUH negara, Datuk Azizulhasni Awang berjaya merampas semula pingat emas acara pecut individu elit lelaki pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Selepas kali terakhir meraih emas acara tersebut pada edisi 2020 di Jincheon, Korea Selatan, Azizulhasni kembali menjejakkan kaki di podium ‘sang juara’ selepas mengetepikan pelumba Jepun, Kaiya Ota 2-0 di pentas final.

Sebelum itu, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman menyingkirkan seorang lagi pelumba handalan Jepun, Kento Yamasaki di peringkat separuh akhir - juga dengan keputusan 2-0.

"Syukur Alhamdulillah... semua ini tidak datang daripada saya sahaja. Pertamanya daripada ALLAH SWT dan keduanya daripada penyokong dan ahli keluarga yang dapat memberikan sokongan.

"Sejak awal saya sudah jangka saingan hari ini agak mencabar. Bermula di peringkat separuh akhir sehingga final, perlumbaan hari ini memang mencabar.

"Peringkat kelayakan semalam juga cukup memenatkan. Kemudiannya pada pusingan pertama dan suku akhir, saya memberikan persembahan 80 peratus sahaja, ia lebih kepada taktikal," kata Azizulhasni.

Azizulhasni berada di momentum terbaik bagi menghadapi saingan di peringkat separuh akhir dan final selepas mencatatkan masa 9.523 saat (s) untuk menduduki tangga pertama peringkat kelayakan pada Khamis.

Lebih manis, catatan yang dilakukan Azizulhasni itu berjaya mengatasi rekod kebangsaan 9.548s yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia 2020 di Berlin, Jerman.

Malah, catatan itu juga menghampiri rekod Asia yang dipegang pelumba sensasi Jepun, Yuta Wakimoto iaitu 9.518s yang diciptanya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mengulas prestasinya dalam saingan separuh akhir dan final, Azizulhasni berkata, taktikal yang diaturnya menjadi sehingga memperoleh kemenangan bersih 2-0 ke atas kedua-dua lawannya dari negara Matahari Terbit itu.

"Memang perlumbaan hari ini saya banyak menggunakan tenaga. Pada perlumbaan kedua (separuh akhir), pelumba Jepun itu ada buat halangan sikit, jadi saya perlu kerah tenaga... alhamdulillah menang.

"Masuk final saya sedar ia menjanjikan saingan lebih mencabar. Perlumbaan pertama, saya guna taktikal berlumba di belakangnya dan kemudian terus memecut laju.

"Dalam perlumbaan kedua, saya pula berada di depannya. Saya mengerah segala kudrat yang ada pada penghujung perlumbaan sehinggalah melintasi garisan penamat," ujarnya.

Dengan kejayaan dalam acara pecut individu sebentar tadi, Azizulhasni telah merekodkan 11 pingat emas di pentas ACC setakat ini, sekali gus mencipta sejarah tersendiri pada kejohanan berprestij Asia itu.

Azizulhasni berpeluang menambah kilauan pingat emas apabila turun bertanding dalam acara kegemarannya, keirin yang berlangsung pada Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!