Tiga dicekup curi kabel TM

No Image Caption
A
A
A

KUALA PILAH - Tiga lelaki tempatan dicekup kerana disyaki cuba mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di tepi jalan berhampiran Klinik Desa Inas Johol di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, kesemua suspek ditahan jam 10.15 pagi ketika rondaan dilakukan oleh anggota dari Balai Polis Johol.

"Ketika tangkapan dibuat turut dijumpai sebuah kereta jenis Perodua Alza yang di dalamnya terdapat peralatan yang digunakan untuk memotong kabel, kabel TM yang telah dipotong dan vest.

"Hasil siasatan lanjut terhadap kesemua suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas mereka juga didapati positif dadah.

Tambahnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada Sabtu untuk permohonan reman.

"Siasatan lanjut berkaitan kes ini diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam lain-lain kes kecurian kabel TM di daerah Kuala Pilah khususnya dan Kontinjen Negeri Sembilan amnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!