KJ sertai perbincangan hala tuju ekonomi bersama Anwar

Khairy (dua dari kanan) bersama Johari (tiga dari kanan) ketika perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara bersama Anwar. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Khairy (dua dari kanan) bersama Johari (tiga dari kanan) ketika perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara bersama Anwar. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengadakan perbincangan berkait hala tuju ekonomi negara yang turut disertai Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama ahli-ahli ekonomi.

Beliau berkata, perbincangan itu diadakan bagi mendapatkan pandangan dan idea mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

"Segala pandangan yang dikongsikan pastinya akan digunakan untuk membentuk Naratif Ekonomi Madani yang sedang dirangka bagi mencorak hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang.

"Pakar ekonomi yang saya temui hari ini juga bersetuju bahawa kita punyai masa yang terhad untuk menyelesaikan masalah atau tantangan yang melanda ekonomi negara dan membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul," katanya dalam perkongsian di Facebooknya pada Jumaat.

Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran.

"Ia juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara yang baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara," katanya dalam perkongsian sama.

Dalam pada itu, kata Anwar, kerajaan bertekad dan akan bekerja keras bagi memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

“Pertumbuhan ekonomi bukan tentang angka semata-mata tetapi mesti menggarap keperluan serta kehendak rakyat,” jelasnya.

Turut hadir dalam perbincangan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron; Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali serta Pengerusi bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!